Monday, April 16, 2012

Pejuang yang Kalah dan Menang 1 dan 2


PEJUANG YANG KALAH DAN YANG MENANG 1

Setelah negara mencapai kemerdekaan selama 52 tahun masih ada lagi pertikaian, siapakah pejuang sebenar yang membawa negara ini mencapai kemerdekaan.

Bagi generasi muda yang lahir selepas merdeka tentunya akan timbul kekeliruan tentang sejarah kemerdekaan negara apabila masih ada yang mengatakan bahawa Umno Bukan Pejuang Kemerdekaan Sebenarnya .

Setahu saya UMNO tidak pernah pun mengaku yang parti UMNO sahaja yang memperjuangkan kemerdekaan negara ini. Malah Tunku Abdul Rahman pernah mengucapkan terima kasih kepada PKM semasa Rundingan Baling 1955 yang menyatakan penentangan bersenjata PKM boleh membantu mempercepatkan kemerdekaan di mana kesungguhan rakyat daripada pelbagai haluan dan ideologi telah memberi tekanan kepada pihak British.

Malah sehingga kini buku teks matapelajaran sejarah daripada tingkatan 2 hingga 6 bagi tajuk sejarah Malaysia sememangnya tidak menggenepikan, meminggirkan atau memadam fakta sejarah yang melibatkan perjuangan dan pencetus semangat nasionalisme di Tanah Melayu.

Cuma sejarah itu ditulis oleh pihak yang menang dan tidak dapat dinafikan memang terdapat peristiwa-peristiwa penting yang dicerita lebih memihak kepada kerajaan yang merealisasikan kemerdekaan itu.

Tentulah sukar untuk mencari penulisan yang ideal dan adil untuk semua pejuang tetapi ianya jauh lebih baik jika ia ditulis oleh bekas penjajah yang langsung tidak mengiktiraf mereka sebagai pejuang malah dilabelkan sebagai penderhaka, pengkhianat dan pengganas.

Pihak kerajaan yang ada masih lagi membuka ruang dan peluang untuk rakyat mencungkil dan menyelongkar peristiwa-peristiwa atau tokoh-tokoh yang terbabit dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.

Buku-buku masih banyak ditulis tentang sejarah negara malah bekas-bekas ahli PKM masih boleh membina blog masing-masing yang masih jelas penulisnya teguh dengan prinsip perjuangan mereka. Baca di sini dan di sini.

Walaupun PKM sudah meletakkan senjata dalam Perjanjian Damai di Hadyaai pada tahun 1989 tetapi ideologi komunisme dan sosialisme masih hidup subur di kalangan pendokong-pendokongnya.

Masih banyak ruang bacaan untuk rakyat membuat penilaian dan hipotisis sendiri tentang latar belakang sejarah perjuangan kemerdekaan dan kebangkitan semangat nasionalisme di Tanah Melayu.

Sejak saya di alam persekolahan lagi, semangat saya tidak pernah padam untuk mengiktiraf pejuang-pejuang dan pencetus semangat nasionalisme khususnya kebangkitan penentangan berdarah oleh Datuk Maharaja Lela dan Tok Sagor di Perak, Tok Janggut di Pasir Puteh, Mat Kilau dan Tok Bahaman di Pahang, Dol Said di Naning, Abd.Rahman Limbong di Telemong, Rosli Dhobi di Sarawak dan lain-lain.

Kesemua mereka adalah pencetus kepada kebangkitan semangat kebangsaan untuk membebaskan negara ini daripada penjajah. Hampir kesemuanya berjuang hingga ketitisan darah terakhir.

Kesemua tokoh-tokoh ini dicap sebagai pengganas dan penderhaka oleh British tetapi apabila sejarah negara di tulis semula kesemua mereka adalah pejuang-pejuang.

Walaupun penentangan yang dilakukan tidak memperoleh apa-apa kemenangan tetapi perjuangan inilah yang telah menyubur dan memercikkan api nasionalisme.

Gerakan nasionalisme seperti ini bertunjangkan misi pembentukan negara bangsa yang merdeka, bebas dari penjajah dan mentadbir sistem pemerintahan negara sendiri dengan acuan kepimpinan sendiri.

Langkah paling berkesan dalam menyemarakkan idea nasionalisme kemerdekaan diperhebatkan melalui sebaran media massa. Pada masa itu, mata pena amat tajam daripada muncung senapang.

Justeru itu, kita tidak boleh mengkesampingkan peranan Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Ustaz Abu Bakar al-Baqir, Abdul Kadir Adabi, dan Abdul Rahim Kajai serta ramai tokoh lagi. Terdapat tiga golongan yang menjadikan mata pena sebagai senjata menyemarakkan nasionalisme.

Pertama, golongan agama lepasa Al Azhar, Mesir dan Timur Tengah yang lebih dikenali sebagai Gerakan Islah.

Kedua, golongan sekular berpendidikan Inggeris.

Ketiga, golongan sekular berpendidikan Melayu.

Mereka mengeksploitasi keilmuan melalui penerbitan akhbar menentang British secara kreatif tanpa dihidu oleh British pada peringkat awalnya.

Akhbar seperti al-Imam, Utusan Melayu (satu-satunya akhbar yang masih kekal sehingga kini), Seruan al-Azhar, Lembaga Melayu, Neracha, al-Ikhwan dan Lidah Benar (sekadar menyebut beberapa nama) adalah tempat para penulis berkarya menanamkan idea nasionalisme.Baca di sini untuk bacaan selanjutnya.

Saya tidak berasa tertipu dengan sejarah negara ini kerana saya mengenali semua nama-nama pejuang-pejuang dan tokoh-tokoh yang memberi sumbangan kepada kemerdekaan negara.

Tidak ada yang tersorok dan tersembunyi kecuali jika saya ingat mendapat maklumat tambahan maka saya akan mencari buku-buku yang berkaitan dan melayari internet untuk menambah pengetahuan peribadi. Sebagai seorang pembaca, maka sewajarnya kita meletakkan diri kita di zaman tersebut sekurang-kurangnya kita berlaku adil untuk kita memahamkan sesuatu peristiwa serta kesan-kesannya.

bersambung...........

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.segalanyamungkin.blogspot.com



Pejuang Yang Menang Dan Yang Kalah (Siri 2)



Imperialisme British terhadap Malaya, bukan sahaja telah merantai kebebasan dan memunggah kekayaan kita keluar demi melampias kuasa empayar yang berpusat di England, malah ia juga telah meragut banyak nyawa pejuang-pejuang kemerdekaan. Propaganda British bahawa pejuang-pejuang yang tidak sehaluan dengannya dikatakan penganas dan pengkhianat telah berjaya meracuni pemikiran rakyat. Nasib buruk ini diterima oleh Datuk Maharaja lela, Tok Janggut, Tok Bahaman, Mat Kilau sebagai penganas dan pemberontak.

Sebelum perjuangan mendapat kemerdekaan ini dipelopori oleh UMNO dan rakan-rakan parti Perikatan kita juga tidak boleh menafikan sumbangan Kesatuan Melayu Muda(KMM)seawal tahun 1930an. Pengikut-pengikut KMM banyak terpengaruh dengan buku-buku daripada Indonesia serta pemimpin-pemimpin revolusioner Indonesia antaranya Pak Jenain (Sutan Jenain), Alimin, Musso dan Suparto.KMM juga yang mempelopori semboyan “Merdeka”. Tokoh-tokoh pemimpin KMM adalah seperti antaranya Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ibrahim Yaacob, Mustapha , Ishak Hj Mohamad(Pak Sako) , Ahmad Boestamam dan lain-lain.

Menurut Abdullah C.D bekas Pengerusi PKM, Keadaan masa itu sangat kemelut. Pokoknya ada dua perkembangan penting dari segi perjuangan rakyat. Pertama, PKM, yang ditubuhkan pada tahun 1930, telah menyusun sebahagian rakyat melancarkan perjuangan. PKM mempunyai pengaruh yang luas di kalangan orang Cina. Di kalangan orang Melayu dan India, tak ada kader, hanya pada penghujung perang, pengaruhnya mula meluas. Untuk melawan Jepun, PKM tubuhkan Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya (TAJRM /MPAJA) dan melancarkan perang gerila. PKM juga bekerjasama dengan British dan mendapatkan sedikit senjata.

Kedua, semasa awal pendudukan Jepun, KMM dibenarkan bergerak secara terbuka. KMM mengambil sikap bekerjasama dengan Jepun untuk melawan British demi kemerdekaan Malaya. Ini sama seperti yang dilakukan Sukarno di Indonesia. Setelah KMM diharamkan pada tahun 1942, Ibrahim Yaacob dan beberapa tokoh lagi menubuhkan Malai Gyu Gun, atau PETA, iaitu sebuah pasukan tentera Melayu yang mengambil kesempatan daripada kemudahan yang diberikan Jepun dengan tujuan mencapai kemerdekaan. Sebelum Ibrahim berundur ke Indonesia, beliau cuba mengatur beberapa orang membawa PETA bergabung dengan pasukan TAJRM untuk sama-sama melawan British. Sayangnya, kerana keadaan berubah, rancangan itu gagal.

Bagaimana pun KMM diharamkan pada tahun 1942 kerana pada tahun 1942, Mustapha Hussein bagi pihak KMM mengajukan tuntutan untuk merdeka kepada pihak Jepun. Selepas diharamkan ramai pemimpin KMM menyertai gerilya MPAJA dengan melakukan kerja propaganda untuk melawan Jepun.

Gerakan kebangsaan di kalangan orang Melayu selepas perang lebih bergelora. Cita-cita kemerdekaan KMM diteruskan oleh PKMM (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya). Kebanyakan penaja PKMM ialah bekas pemimpin dan anggota KMM dulu. Dalam PKMM, terdapat anggota daripada pelbagai aliran – nasionalis, agama, sosialis, komunis. Tapi, tak kira apa alirannya, mereka telah mengenepikan perbezaan dan dapat bersatu dan bekerjasama. Ini kerana satu tujuan dan matlamat yang anti-imperialis, anti-kolonialis dan cintakan kemerdekaan serta kebebasan. PKMM ditubuhkan pada bulan Oktober 1945 dalam kongres di Ipoh. Mokhtaruddin Lasso, Dr. Burhanuddin, Boestamam, Pak Sako, Abdullah C.D ramai lagi bertanggungjawab mendirikan parti politik orang Melayu untuk memperjuangkan kemerdekaan. PKMM berkembang pesat dengan anggota kira-kira 100,000 orang.

Selepas itu, UMNO ditubuhkan bulan Mei 1946 oleh Dato'Onn Jaafar di Istana Besar Johor Bahru. Semboyannya waktu itu bukan “Merdeka”, tapi “Hidup Melayu”. Dalam kongres perpaduan bangsa Melayu pada awal 1946, PKMM turut serta bersama UMNO. Tetapi pada masa itu, sudah timbul perdebatan besar atas isu “Non” dan “Ko”. PKMM ambil sikap “Non”, yakni tidak bekerjasama dengan penjajah British, mesti terus berjuang untuk kemerdekaan.

Sebaliknya pemimpin UMNO mengambil sikap “Ko”, iaitu bekerjasama dengan British. PKMM mengambil keputusan keluar daripada UMNO, dan terus membentuk gabungan pertubuhan-pertubuhan Melayu, lebih 60 buah semuanya, dalam Pusat Tenaga Rakyat atau PUTERA. PUTERA kemudian bergabung dengan AMCJA. Gabungan PUTERA-AMCJA ini merupakan barisan bersatu anti-British berbilang kaum yang paling luas memperjuangkan kemerdekaan. Gabungan ini telah mengemukakan Perlembagaan Rakyat untuk menggantikan perlembagaan Melayu Union, tetapi di tolak mentah-mentah oleh British.

Peristiwa penting kepada penyatuan Melayu adalah gagasan menentang Malayan Union oleh keseluruhan orang Melayu. Di dalam catatan sejarah Malaysia, Satu kongres Melayu yang menyatukan semua pertubuhan Melayu di Tanah Melayu diadakan pada 1 hingga 4 Mac 1946 atas cadangan Dato' Onn bin Jaafar. Dalam mesyuarat ketiga Kongres Melayu Se-Malaya itu, keputusan dicapai untuk menubuhkan sebuah parti politik iaitu UMNO. UMNO secara rasminya ditubuh pada 11 Mei 1946 dan melantik Dato' Onn bin Jaafar sebagai presiden pertama. Penentangan Malayan Union telah mencapai kejayaan dan Malayan Union ditukar kepada Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Semboyan kata UMNO "Hidup Melayu" ditukar menjadi "Merdeka" selepas berjaya menentang Malayan Union.

Perlu juga ditulis bahawa "Malayan Union" ciptaan British, bertujuan merampas kuasa raja-raja dan langsung tidak menyentuh soal kemerdekaan Malaya. Oleh itu, PKMM menentangnya bersama-sama dengan UMNO dan lain-lain pertubuhan waktu itu. Disebabkan tentangan menyeluruh daripada seluruh umat Melayu inilah, rancangan Malayan Union British gagal.

Di Gunung Semanggol, terdapat tokoh-tokoh agama yang penting dan berpengaruh, seperti Ustaz Abu Bakar Al-Bakir, Mudir Maahad El-Ehya Assyarif. Tokoh-tokoh agama ini menubuhkan Parti Hizbul Muslimin yang bekerjasama dengan PKMM dan bergabung dalam PUTERA.
Gerakan PUTERA (pertubuhan orang Melayu)-AMCJA(persatuan bukan Melayu) mendapat sambutan begitu luas daripada sebahagian rakyat. Mogok dan hartal yang dilancarkan cukup berkesan. Semangat “Merdeka” berkobar-kobar. Keadaan ini menyebabkan British berasa gentar dengan gerakan golongan kiri ini.

Akibat tekanan pihak British sebahagian pemimpin dan pendokong PKMM telah menyertai gerakan gerila komunis. Parti Kuomintang dari China memainkan peranan yang penting untuk menyebarkan perfahaman komunis ke Tanah Melayu. Cawangan Kuomintang di Tanah Melayu diharamkan oleh British. Walau bagaimanapun, golongan komunis di Tanah Melayu menubuhkan Parti Komunis Nanyang tetapi diharamkan pada tahun 1930 kemudian menubuhkan pula Parti Komunis Malaya(PKM). Tujuan penubuhan PKM adalah untuk menghalau British keluar dari Tanah Melayu dan menubuhkan Republik Komunis.

Lawan kepada komunis adalah kapitalis yang memang menjadi anutan semua penjajah termasuk British. Sebab itu British sangat memusuh PKM dan mengistiharkan darurat daripada 1948-1960 bagi membenteras komunis sepenuhnya. Salah satu Rejimen PKM yang dianggotai oleh bekas-bekas pemimpin PKMM ialah Rejimen ke-10 yang ditubuhkan pada 21 Mei 1949. Antara pemimpinnya yang terkenal ada Abdullah CD, Rashid Maidin, Abu Samah Kassim, Syamsiah Fakeh, Musa Ahmad dan lain-lain. Mereka memilih kaedah untuk membebaskan negara ini melalui pertumpahan darah dan peperangan.

Di pihak UMNO pula, pemimpin-pemimpin mereka kebanyakannya adalah golongan yang berpendidikan barat atau dikenali sebagai golongan sekular berpendidikan Inggeris atau golongan kanan yang pro British. Pendekatan yang digunakan adalah perundingan dengan pihak British. Kaedah ini disenangi oleh pihak British tambahan lagi Dato' Onn dan Tunku Abdul Rahman sendiri sememangnya masak dan faham dengan perangai, budaya dan pemikiran British. Golongan ini boleh dikatakan sebagai golongan yang menang kerana melalui perundingan juga UMNO telah merealisasikan kemerdekaan kepada negara ini.

Bagi pihak golongan kiri yang mengambil pendekatan antiBritish dan menolak sebarang bentuk perundingan kecuali dengan mengangkat senjata seperti yang dilakukan oleh PKM tidak mendapat sokongan majoriti rakyat pada masa itu. Tambahan lagi,mereka berpendapat falsafah Marxis itu adalah satu senjata yang terbaik dalam perjuangan untuk kemerdekaan tanah air dan untuk kemajuan masyarakat umat manusia. Mereka juga berpendirian bahawa Marxisme itu bukan sebagai “dogma”, atau pegangan ketat dan kaku dan tidak boleh berubah, tetapi memadukannya sesuai dengan syarat dan keadaan di Malaya.

Mereka berpendapat dengan kurang sambutan dari kalangan orang Melayu kepada PKM adalah disebabkan anggapan bahawa Marxisme, tidak beragama atau menentang agama. Dan mereka juga mengatakan bahawa pandangan seumpama ini adalah racun dan hasutan penjajah supaya membenci kepada perjuangan PKM. Golongan kiri ini boleh dikategorikan sebagai golongan yang kalah. Kalah kerana tidak mendapat sokongan majoriti rakyat atas pendekatan dan ideologi yang mereka bawa. Mereka juga tidak boleh menafikan bahawa mereka walaupun 'berjuang' ke arah pembebasan negara ini pada hakikatnya mereka wajar akur bahawa akhirnya pendekatan yang dibawa oleh UMNO itu telah berjaya membawa satu angan-angan, cita-cita dan harapan itu menjadi kenyataan.

Soal tulen atau tidak perjuangan UMNO itu bukan sesuatu yang perlu dibahaskan. Namun UMNO tetap menerima hakikat bahawa perjuangan semua rakyat daripada pelbagai aliran dan fahaman sama ada nasionalis atau agama ke arah menyumbang kepada sentimen pembebasan dan kemerdekaan negara yang memuncak-muncak sehingga negara akhirnya merdeka pada tahun 1957. Suka atau tidak pihak yang menang itu mendapat kuasa yang turut diidam-idamkan oleh pihak yang kalah. Lebih zalim lagi jika mengatakan kerajaan yang telah terbentuk selama 52 tahun ini adalah warisan daripada penjajah kerana negara ini telah dibangunkan atas acuan kita sendiri.

Amir Hamzah
Batu Pahat

No comments:

Post a Comment