Monday, April 16, 2012

MENGAPA BRITISH ISYTIHAR DARURAT 1948

PAK SAKO


Ramai orang melihat Pengisytiharan Darurat pada 18 Jun 1948 sebagai suatu akta dan undang-undang mengawal keamanan. Bagi British adalah sebuah peperangan terhadap rakyat yang dilancarkan tanpa disedari. Atas nama kebebasan dan keamanan ; maka mudahlah aktivis politik progresif yang mengancam kedudukan Inggeris ditangkap dan dilumpuhkan.

Jika mengisytihar perang, Inggeris mungkin terikat dengan undang-undang perang antarabangsa termasuk Convention Geneva yang terpaksa mengambilkira soal peraturan dan hak asasi kemanusiaan. Justeru istilah ini telah digunakan dengan berkesan di banyak tanah-tanah jajahannya.

Undang ini juga pernah dipaksakan ke atas India dan Palestin sebagai alat mengawal kepentingan politik Inggeris dengan kuasa negara atau state power, menangkap pemimpin-pemimpin parti yang menentangnya dan melumpuhkan gerakan itu sekaligus.

Pengalaman British sekitar tahun 1890 – 1930 tatkala menghadapi tentangan dari pejuang patriotik Melayu seperti Dato’ Bahaman, Mat Kilau, Tok Gajah, Tok Janggut, Dato Sagor serta yang lainnya dalam Perang Bahaman, Perang Perak dan perang di Selangor telah memberi pelajaran berguna kepada Inggeris untuk mengguna satu kaedah yang boleh disandarkan atas nama negara.

Justeru Undang-Undang Darurat 1948 sebenarnya ialah alat yang dirancang awal bagi menggantikan istilah ‘perang’. Kaedah ini memberi kelebihan kepada British dalam semua aspek tanpa disedar.

Dato’ Bahaman pernah diburu oleh 800 tentera Inggeris-Melayu kerana menentang dasar cukai baru ‘Wise’ di Pahang. 450 dari tentera ini lengkap dengan senjata Rifel. Walaupun beliau menang dalam semua pertempuran dalam perang gerilanya terhadap sasaran Inggeris di Pahang namun beliau terpaksa berundur ke Kelantan, Terengganu dan Pahang demi menjaga hati Sultan. Beliau menghentikan serangannya terhadap Inggeris kononnya itulah yang diminta oleh Sultan Ahmad kepada wakilnya dalam satu perundingan yang dianjurkan oleh Sultan ketika itu (lihat Memoir Abdullah C.D Bhg 2 hal. 63).

Ada juga kisah beliau telah ke Thailand kerana tidak mahu bertembung dengan askar Inggeris kerana tersinggung setelah mendapat tahu bahawa Sultan telah menggelar dirinya sebagai “si celaka durhaka” berikutan keengganannya mematuhi dasar cukai yang diperkenalkan oleh Wise dan Clifford di Pahang.

Menurut buku-buku sejarah di sekolah, undang-undang darurat telah diistiharkan apabila tiga orang peladang getah Inggeris telah ditembak mati di sebuah ladang di Sungai Siput oleh PKM. Buku yang sama tidak menyebut bahawa tiga hari sebelum itu, Inggeris telah menembak 10 buruh India yang melancarkan demontrasi di Batu Gajah. Walau bagaimanapun kedua-dua insiden ini bukanlah sebab sebenar yang mendorongan pengisytiharan darurat.

Sebab sebenarnya ialah apabila Inggeris melihat rakyat yang dipimpin oleh aktivis progresif telah bersatu dengan teguh dan melaung-laungkan semboyan Merdeka di bawah gabungan PUTERA-AMCJA yang dipengerusikan oleh Pak Sako. Semangat Merdeka di bawah gabungan ini merebak di seluruh pelusuk tanah air dan membakar semangat rakyat hingga Inggeris menjadi begitu bimbang.

Haji Ishak Muhammad atau dikenali sebagai Pak Sako

Sebelum darurat diistiharkan, parti dan pertubuhan-pertubuhan Patriotik-Demokrasi seperti PKMM, PKM, API, AWAS, Hisbul Muslimin dan sebagainya telah diharamkan. Dalam masa dua hari sahaja beribu-ribu pemimpin dan aktivis patriotik-demokratik telah ditangkap di seluruh negara dan digiring ke penjara. Ramai dari mereka terdiri daripada pemimpin-pemimpin Melayu kerana kelekaan mereka terhadap rancangan ini.

Ramai di siksa, malah ramai juga mati di tali gantung atas sebab dituduh bersubahat dengan komunis. Aktivis Tionghua, lebih peka dan menyelamatkan diri. Mereka masuk ke hutan dan melancarkan perang gerila. Pengharaman dan penangkapan beramai-ramai pemimpin Melayu telah memberi laluan yang mudah kepada UMNO yang pada ketika itu di bawah pimpinan Sir Onn Jaafar yang lebih bersetuju dengan kelangsungan pentadbiran British di Malaya.

Gerakan Kemerdekaan sebenarnya telah berkembang sejak tahun 1920an lagi oleh Dato’ Bahaman dan para pengikutnya di Benta. Benta suatu ketika pernah menjadi pengkalan suara merdeka menentang British di Pahang. Slogan ‘Merdeka’ adalah suara yang boleh menyatupadukan rakyat dan mengancam rancangan British untuk terus menguasai kekayaan di Malaya. Justeru itu pemimpin dan pertubuhan yang bersemboyankan Merdeka dianggap subversif hinggalah berlaku penangkapan besar-besaran pada 18-19 Jun 1948 dan seterusnya.

UMNO pada ketika itu bersemboyankan “Hidup Melayu” dan bukan Merdeka. Semboyan ini disenangi oleh Inggeris yang mengamal dasar pecah-perintah. Bukti sikap lunak UMNO terhadap Inggeris dapat dilihat ketika rombongan Sir Onn Jaafar ke London pada tahun 1951, hanyalah menyentuh tentang soal pelajaran dan jawatan dalam polis diperingkat ASP sahaja dan tidak langsung menyebut soal merdeka walaupun gelombang merdeka begitu hangat diperjuangkan oleh PUTERA-AMCJA. (Mustapha Hussain – Malay Nasionalism Before UMNO, hal 342)

Selepas 1948-1960, UMNO telah meneruskan undang-undang yang sama iaitu ISA - Tahanan tanpa bicara, juga sebuah peperangan baru pasca merdeka terhadap seteru politiknya atas nama mengancam keamanan.

ISA bukanlah timbul dari otak Melayu malah saduran strategi memerangi dan melumpuhkan musuh politik dalam sebuah negara yang dipanggil demokrasi berparlimen yang telah diwarisi dari British bagi tujuan survival politik bangsawan Melayu.

Seperti biasa golongan ulama’ fulus ternakan burjuis Melayu tetap berdiam diri melihat akta bertentangan dengan Islam ini. Ulama fulus ini lebih berminat berdebat soal tahi cicak dan soal sah-batal tidak air sembahyang daripada melawan kemungkaran yang lebih besar seperti ISA. Mereka berfatwa kerana tembolok dan malah sanggup berdoa untuk roh-roh askar British yang gugur


(68) DATO BAHAMAN PERJUANGAN HALAU PENJAJAH

AMANAT PEJUANG BAHAMAN KEPADA REJIMEN KE-10


Jangan menyerah diri kepada musuh, biarlah mati di dalam hutan, jantan sebagai pahlawan.”

“Jangan percaya kepada pembesar-pembesar Melayu kita yang menjadi kakitangan British itu. Itulah sebabnya mengapa peperangan Bahaman telah menderita kekalahan”.

“Haruslah kamu semua menyokong Rejimen Ke-10 melancarkan peperangan terhadap British, sekali-kali jangan berkhianat, siapa berkhianat akan disumpah dan akan celakalah seumur hidupnya.”

angkatan perang dato bahaman
100 tahun lebih yang lalu, daerah Temerloh pernah berkobar pemberontakan kaum tani Melayu melawan penjajah British di bawah pimpinan Datok Bahaman. Pemberontakan yang bermula di daerah Temerloh itu dengan cepat merebak ke seluruh Negeri Pahang.

Pada masa itu kaum tani di sana di bawah pimpinan Datok Bahaman telahpun mengenal sifat-sifat pencerobohan dan niat jahat penjajah British yang hendak merompak kekayaan bumi tanah air dan hendak menghamba abdikan rakyat.

Yang paling dirasakan mereka ialah sejak dari mula lagi British telah menggunakan kekuatan merampas hak-hak milik tanah dari kaum tani dan mengenakan cukai tanah serta merampas kebebasan kaum tani membuka tanah-tanah yang baru. Tindakan penjajah British ini benar-benar telah melanggar kepentingan asasi kaum tani.

Perasaan tak puas hati yang demikianlah telah membangkitkan perasaan amarah yang meluap-luap sehingga mereka bangkit memberontak terhadap penjajah British.
para pejuang Datok Bahaman
Walaupun pemberontakan itu dengan cepat telah berkembang ke seluruh negeri, akan tetapi disebabkan pengkhianatan-pengkhianatan daripada golongan berkuasa dan Datok Purba Jelai, maka akhirnya pemberontakan itu telah gagal.

Walaupun pemberontakan itu telah gagal, tetapi kerana kepentingan asasi kaum tani telah dirosaki, maka perasaan dendam amarah rakyat terutama kaum tani tetap membara seperti api dalam sekam selama puluhan tahun lamanya—menunggu ketika akan meletus sahaja. Begitupun, kadang-kadang muncul juga di sana sini kebangkitan-kebangkitan kaum tani melawan penjajah British.

Begitulah halnya pada tahun 1929, tiba-tiba balai polis Merpatih diserang dan ditawan oleh sekumpulan kaum tani yang bersenjatakan raifel yang ditawan mereka di dalam peperangan Bahaman dahulu.
Apabila Rejimen Ke-10 melancarkan perjuangan bersenjata melawan British pada tahun 1948, maka segala dendaman nasional kaum tani yang selama ini terpendam itupun meletus semula seperti api menyala di padang lalang.

Memang penguasaan penjajah British selama ratusan tahun di Malaya itu bukan suatu yang sia-sia bagi penjajah, di samping merompak sumber kekayaan tanah air kita, penjajah juga telah memupuk entah berapa banyak anjing-anjing buruannya, duduk bersama orang ramai di kampung-kampung menjadi mata dan telinga penjajah.

Akan tetapi, bagaimanapun seruan-seruan: Tumbangkan penjajah British! Rebut Kebebasan! Berjuang untuk kemerdekaan! Dengan cepat telah meresap ke dalam lubuk hati rakyat sehingga telah menjadi kebanggaan nasional, lalu mereka bangkit dengan semangat dendaman nasional yang tinggi. Di mana-mana, Rejimen Ke-10 telah mendapat sambutan rakyat, ada yang mendermakan wang ringgit, barang-barang makanan, bahkan ada yang menyerahkan anak-anak tersayang sebagai ganti dirinya turut serta ke dalam perjuangan bersenjata melawan penjajah British.

Pada tahun 1949, di Kuala Krau terdapat seorang tua yang telah berumur dalam lengkongan 75 tahun, pernah turut serta dalam perang Bahaman melawan British. Dia juga adalah penyokong setia Pak Sako. Bila mendengar Rejimen Ke-10 telah melancarkan peperangan terhadap penjajah British, pejuang veteran itu dengan serta merta menjadi segar dan gagah, tubuh badannya menjadi ringan.

Dia memanggil wakil Rejimen Ke-10 datang ke rumahnya. Dalam pertemuan itu, dia menerangkan pengalaman-pengalamannya sewaktu berperang melawan penjajah bersama Datok Bahaman dahulu.Sebagai amanat, katanya: “sebagai seorang yang pernah turut di dalam peperangan rakyat begitu, saya faham betul segala macam kesukaran yang akan ditempuh”.

Dia berkali-kali menegaskan “jangan menyerah diri kepada musuh, biarlah mati di dalam hutan, jantan sebagai pahlawan.” Dia berpesan lagi: “Jangan percaya kepada pembesar-pembesar Melayu kita yang menjadi kakitangan British itu. Itulah sebabnya mengapa peperangan Bahaman telah menderita kekalahan”.

Pada hari itu juga dia menyuruh semua anak cucunya berkumpul. Dia berpesan : “Haruslah kamu semua menyokong Rejimen Ke-10 melancarkan peperangan terhadap British, sekali-kali jangan berkhianat, siapa berkhianat akan disumpah dan akan celakalah seumur hidupnya."

Begitulah semangat peperangan di zaman Bahaman telah menjadi kebanggaan kepada generasi-generasi muda yang mewarisi tradisi mulia revolusioner itu.
Begitulah juga dalam praktiknya, Rejimen Ke-10 tak pernah terlintas akan menyerah diri kepada penjajah British dan anjing-anjing buruannya. Pada awal tahun-tahun 60-an, awan mendung menyelubugi revolusi Malaya, pihak Jawatankuasa Pusat PKM pernah mengeluarkan tawaran pengunduran diri dari perjuangan kepada sesiapa yang uzur, lanjut usia atau yang tidak mahu meneruskan perjuangan lagi. Tawaran itu dijawab sebagai “Walaupun terpaksa mati dipangkal banir, perjuangan akan diteruskan!

Dicatat oleh Mat Amin pada 05:29

Label: Pahlawan Kemerdekaan, perjuangan kemerdekaan, Rejimen Ke-10 TRM

1 comment: