Profesor Dr Zulkifli Muhammad Dalam Kenangan (1927-1964)
Bersongkok
dan berbaju melayu bukan untuk mempamerkan diri terlalu tebal rasa dan
semangat melayu. Atau menunjuk-nunjuk diri sebagai pahlawan zaman. Tanpa
menghunus keris, atau berlagak sebagai tuan, Prof Dr Zulkifli Muhammad
1927-1964) mampu menggugat hati lawan dengan ketajaman hujah, daya
keilmuan dan komitmen yang tinggi sebagai seorang pemimpin yang
diberikan amanah oleh rakyat. Dua hari lagi genaplah 48 tahun beliau
meninggalkan kita semua.
Semasa Chemek muda remaja dulu, apabila
tiba sahaja hari Jumaat, selalu kedengaran soalan
ditanya berbahasa-bahasa kepada jiran tetangga dan kenalan yang ditemui
di warung-warung/kedai/depan pintu rumah.
alah mano tuh? (maksudnya: hendak ke manakah?)
Jawab mereka: nok gi dengga (nak pergi dengar kuliah agama). Ada yang kata, nok gi kelab Pah (nak pergi Kelab Pas). Ada yang kata: nok gi Dewe Zul (nak pergi ke Dewan Zulkifli Muhammad) dan ada juga yang jawab: Pat tok guru (tempat tok guru Nik Abdul Aziz mengajar pada pagi Jumaat)
Ke semua jawapan ini merujuk kepada
kuliah pagi jumaat yang diadakan di tengah-tengah bandar Kota Bharu.
Dewan Zulkifli Muhammad terletak di tingkat dua Bangunan Pas di Jalan
Dato’ Pati. Jika kita perhati pada bangunan Pas itu dari jauh, kita akan
nampak ada tulisan jawi ‘kelab Pas’. Di tingkat bawah ialah deretan
kedai buku dan pakaian yang dimiliki oleh seorang jutawan al-Marhum
Jaafar Rawas.
Chemek sebenarnya mencari fakta sejarah
mengenai orang yang memperjuangkan nasib orang melayu di akar umbi.
Chemek juga sedang mencari-gali semula siapakah mereka yang bekerja
keras untuk perpaduan orang melayu Islam di tanahair ini. Pencarian
Chemek terhenti pada nama tokoh ini. Semakin banyak
membaca mengenai jasa beliau, semakin membuka mata chemek sendiri bahawa
jasa ahli Parlimen Pas seperti beliau dapat menjawab kontroversi dan
propaganda yang mengatakan bahawa Pas membelakangkan nasib orang melayu
bahkan ia menunjukkan bahawa sejak awal lagi Pas adalah parti dan jemaah
Islam yang benar-benar mengambil berat dan memperjuangkan Islam dan
nasib orang Melayu.
Sebelum ini dewan di tingkat 2 di Kelab
Pas tidak bernama. Ia menjadi tempat Tuan Guru menyampaikan kuliah lebih
30 tahun (atau lebih lagi) lamanya. Pada hari-hari biasa, ia menjadi
tempat solat orang ramai. Sebagai mengenangi jasa Prof. Dr Zulkifli
dalam Pas, maka Pas Kelantan menamakan Dewan itu sempena nama beliau.
Mari kenali serba sedikit siapakah insan
ini yang merupakan seorang tokoh pemimpin dalam Pas pada tahun 1950 –
1960 an. Sumber utama tulisan chemek ini dipetik dari blog Ibnu Hasyim
yang Chemek hanya kenal namanya melalui tulisan-tulisan beliau sejak
dahulu. Boleh jadi juga tidak salah jika Chemek kira beliau (dan pak
MSO) sebagai ensiklopedia politik Kelantan, kerana rakaman bernilai
sejarah Pas yang ditulis oleh mereka sehingga ke hari ini. Chemek juga
merujuk kepada tulisan Abu Urwah ataupun YB Sa’ari Sungib dan Dr Fauzi
Zakaria.
Latar belakang Peribadi dan Pendidikan
Profesor Dr. Zulkifli Muhammad ialah
Timbalan Yang Dipertua Agung (Presiden) Parti Islam Se-Tanah Melayu
(PAS) dari tahun 1956-1964. Anak Kelahiran Kuala Kangsar ini mendapat
pendidikan tinggi di Mesir pada tahun 1940an. Dilahirkan pada 22 Mac
1927 di Kampung Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar. Isteri beliau ialah
Ustazah Asiah Kamaruddin, merupakan Naib Ketua Muslimat PAS Pusat.
Sewaktu belajar di Mesir, beliau terdedah
dengan pemikiran dan gerakan Islam. Bersama tokoh Pas sezamannya, Ustaz
Haji Hassan Salleh, pada setiap minggu beliau mengikuti Hadith al-Thulatha,
iaitu Kuliah mingguan yang disampaikan oleh pengasas Ikhwanul
Muslimin, Hasan al-Banna di Markaz Am pertubuhan itu. Setelah kematian
al-Banna kuliah itu disambung oleh Syed Qutb. Dr Zulkifli masih
meneruskan kehadirannya kuliah itu sehinggalah tahun 1951.
Rakyat Kelantan sejak pilihanraya terawal
lagi telah menunjukkan sikap terbuka dalam menerima kepimpinan
berpelajaran agama ataupun ulama’. Anak kelahiran Perak ini diterima
rakyat Bachok, Kelantan walaupun beliau bukan asal di situ. Beliau
memenangi kerusi parlimen Bachok pada tahun 1959 dan sekali lagi dalam
pilihanraya 1964.
Sumbangan Prof. D Zulkifli Muhammad Sebagai MP Pas
Komitmen beliau terhadap tugas sebagai
ahli Parlimen amat memberangsangkan. Beliau hadir penuh setiap
persidangan dari awal sehingga akhir. Jika sehari, sehari penuhlah
kehadirannya. Jika seminggu ataupun sebulan, jelas partisipasi beliau
dari awal sehingga ke akhir. Seorang yang amat menekankan keikhlasan
dalam berkhidmat untuk nusa dan agama. Inilah kunci utama kerja cermat
beliau sepanjang menjadi pemimpin Pas dan masyarakat. Dari
laporan-laporan Parlimen didapati beliau pantas berhujah dengan bernas
dan setiap mesej yang diutarakan berkualiti tinggi.
Siapa menyangka, ahli parlimen Pas yang
selalu dipanggil oleh pihak lawan sebagai ‘orang kampung’ ataupun dari
parti ‘Tok Lebai’ boleh menggegarkan dewan rakyat melalui hujah dan
pidato yang hebat.
- Beliau ialah wakil rakyat pertama dalam sejarah Dewan menempa sejarah berucap selama empat jam berturut-turut.
- Beliau juga menggesa Persekutuan Tanah Melayu agar menarik balik pengiktirafan terhadap negara Israel.
- Pada 19 Ogos 1963, beliau berucap menentang penubuhan Malaysia dari jam 10.00 pagi hingga 1.00 tengahari. Ini kerana jika berlaku penubuhan Malaysia, pulau Singapura akan terlepas dari kerajaan.
- Beliau juga membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) malah beliau mengecam awal-awal akta ini sebelum ia diluluskan kerana beliau bimbang akta ini digunakan untuk kepentingan politik.
Beliau juga membangkitkan isu masyarakat
dari hak keistimewaan orang-orang Melayu, bahasa Melayu, sehinggalah isu
pendidikan seperti pengiktirafan sijil Kolej Islam Malaya, Pusat
Latihan Guru dan menyarankan agar dihentikan penghantaran guru ke
Brinsford dan Kirby di United Kingdom. Dalam persidangan pada bulan
November 1959, beliau membangkitkan soal-soal kerakyatan, cukai, minuman
keras, pertanian seperti koperasi dan bidang teknik,
Sebulan kemudian, sewaktu persidangan
dewan rakyat berlangsung pada bulan Disember 1959, beliau membangkitkan
soal kerakyatan, perang saraf, pelajaran dewasa, rumah murah, penuntut
Melayu di Mesir, Bahasa Melayu, cukai import, perlunya institute
penyelidikan industry dan lain-lain.
Antara isu yang beliau sentuh pada bulan
April 1960 ialah mengenai bahasa Melayu sebagai pengantar, ekonomi orang
Melayu termasuk RIDA.
Ketika persidangan yang lain dari bulan
Ogos hingga Disember 1960 Dr Zulkifli Muhammad mengemukakan persoalan
mengenai pendatang haram, orang Melayu luar negeri, Laporan Razak
mengenai pelajaran, perlunya Malay Economic Secretariat, ali baba, RIDA,
cukai, anti corruption agency, architecture kebangsaan dan perlunya
rumah-rumah murah untuk kakitangan kerajaan berpendapatan rendah.
Dalam tahun 1961, beliau mengemukakan
pendapat mengenai Rancangan Pembangunan Lima Tahun mengenai pelajaran
dewasa, penggunaan Bahasa Melayu RIDA, FELDA, Dewan Bahasa dan Pustaka,
menentang penubuhan Malaysia, dasar pelajaran dan rasuah. Tahun 1962,
mengemukakan perlunya Staff Training Centre, Public Record, Crown Agent,
RIDA, kemunduran pelajar Melayu, pengjian Islam, Kolej Islam, penubuhan
Tabung Haji, perturan sekolah-sekolah, Kolej Pertanian, Bahasa
Kebangsaan, perlunya Secretariat Melayu Kuala Lumpur, bahasa Melayu di
mahkamah dan keselamatan jalan raya.
Komitmen beliau tidak surut walaupun
penggal perjawatannya semakin berakhir. Dari isu yang besar sehinggalah
kes terpencil yang tidak diselesaikan oleh kerajaan dibawa ke Parlimen.
Contohnya seperti isu Bahasa Kebangsaan, Syarikat Kerjasama, dasar luar
negara Association of Southeast Asia (ASA), kesihatan, sehingga kepada
pengaduan rakyat yang diberhentikan kerja secara aniaya.
Antara lain sumbangan beliau sebelum dan
sewaktu menjadi ahli parlimen Pas ialah beliau terlibat menentang
keganasan komunis di Kuala Kangsar, Perak. Beliau
juga terlibat menentang gagasan Malayan Union (yang disokong pada
mulanya oleh UMNO) bersama pertubuhan Melayu berhaluan kiri.
Selain itu, beliau mengasah penanya yang
tajam dan kritikal melalui tulisan dan rencana. Contoh penulisan beliau
ialah: a) Falsafah Akhlak dalam Islam, b) Umat Islam Sekarang Makin
Mundur, c) Peranan Filem dalam Masyarakat, d) Economic Justice, dan e)
Kebangkitan Ekonomi Menurut Pandangan Islam. Beliau juga menghasilkan
tiga buah buku iaitu Masyarakat dan Syariat, Analisa Tentang Beberapa
Masalah Hidup, dan Pegangan Hidup Umat Islam. Selain itu sebagai seorang
pujangga yang kreatif, sajak-sajak beliau telah diterbitkan dalam
majalah-majalah tanah air seperti Medan Masyarakat, Mastika, Qalam,
Penghidupan, Hiburan dan Pembangunan. Adunan semangat cintakan tanahair
dan kekuatan Islamnya tersimpul kemas di dalam bait-bait sajak yang
dihasilkan.
Apa yang cukup ketara dan menjadikan Pas
unik di gelangang politik dari dahulu sehingga kini ialah ketika umno
sibuk membicarakan pembelaan dan kepentingan Melayu berteraskan semangat
kebangsaan, Pas melalui Dr Zulkifli Muhammad dan mereka yang
kemudiannya terus membicarakan soal kepentingan bangsa, bahasa Melayu
tetapi berpaksikan kepentingan agama Islam.
Sumbangan Beliau Dalam Pendidikan.
Prof. Dr Zulkifli Muhammad menyakini
terdapat dua cara yang berkesan dalam usaha membentuk sebuah masyarakat
yang sejahtera dengan nilai-nilai Islam dan luhur. Cara tersebut adalah
melalui penglibatan dalam bidang politik dan pendidikan.
- Beliau telah menggerakkan usaha menubuhkan Kolej Islam Malaya di Klang (1953). Bagi mengenang jasa beliau dalam pendidikan ini, Universitas Sawerigading (UHSA), Indonesia yang telah menganugerahkannya gelaran Profesor Kehormat pada 15 Julai 1957. Gelaran ini diterima sebelum beliau menjadi ahli parlimen Pas.
- Beliau juga mencetuskan idea Penubuhan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan pada 1965.
- Perhatian beliau mengenai masalah Bahasa Melayu amat tajam. Bersama Pendeta Za’baa, beliau merintis penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka dan menyeru Kerajaan Persekutuan supaya menyegerakan pembinaan bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka agar usaha memakmurkan Bahasa Kebangsaan dapat dijayakan.
- Menyokong cadangan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai sebuah institusi yang akan memartabatkan Bahasa Melayu.
Profesor Dr Zulkifli Muhammad merupakan
seorang pemikir masa depan bagi Pas. Beliau pernah menyuarakan bahawa
Islam tidak dapat ditegakkan dalam negara ini tanpa sokongan orang-orang
bukan Islam. Beliau jelaskan bahawa golongan bukan Islam mempunyai hak
tersendiri dalam sesebuah negara Islam. Kerana itu, beliau mencadangkan
agar Pas bersedia melihat masa depan merentas bingkai etnik dan sempadan
bangsa Melayu semata-mata. Sesuai dengan sifat Islam yang menjadi
rahmat untuk semua bangsa, maka beliau mencadangkan agar PAS mengkaji
cadangan membuka keahlian kepada warga negara ini yang bukan Islam
sebagai Ahli Bersekutu. Namun, Jawatankuasa Agung PAS ketika itu tidak
berhasrat membuka keahlian kepada golongan bukan Islam menyertai Pas
hanya kerana ‘semata-mata kerana takut kalah pilihan raya’.
Penting untuk dinyatakan di sini mengenai
kemelut politik pada tahun 1950 an dan 1960 an. Suasana negara ketika
itu yang baru mencapai kemerdekaan tidak sunyi dari pertembungan,
keganasan dan api perkauman. Kita mewarisi negara kini dalam
simpulan-simpulan perkauman yang terlalu tebal ciptaan para penjajah.
Catitan sejarah menunjukkan berlaku peristiwa hitam beberapa kali. Kesan
tinggalan penjajah ini terus dirasai sehingga ke hari ini.
Pemergian Beliau
Di kala rakyat amat memerlukan seorang
pemimpin seperti beliau, berlaku tragedi yang tidak disangka di Batu 4,
1/2 Jalan Kuantan, Pahang pada 6 Mei 1964. Kereta Fiat Dr Zulkifli
Muhammad telah dirempuh oleh sebuah land rover yang laju dari arah
bertentangan. Isterinya meninggal di tempat kejadian, manakala beliau
menghembuskan nafas terakhir semasa dibawa ke hospital. Hanya Allah
s.w.t maha Mengetahui apakah sebenarnya yang terjadi.
Kematian beliau menyebabkan semakin kusut
keadaan politik ketika itu. Api sengketa dan pertembungan di antara Pas
dan UMNO sedang berlaku. Profesor Dr Zulkifli pula baru sahaja
memenangi kerusi pilihanraya umum parlimen Bachok untuk penggal kedua.
Untuk menamatkan spekulasi bahawa kematian beliau adalah angkara
kemalangan yang dirancang ataupun perbuatan kianat musuh politik, Tunku
Abdul Rahman al-Haj iaitu PM ketika itu terpaksa membuat kenyataan di
Dewan Rakyat. Kenyataan tersebut ke udara ke segenap pelusuk desa
melalui radio RTM. Kemudian kerajaan persekutuan mengarahkan agar
jenazah al-Marhum suami isteri diterbangkan dari Kuantan ke Kuala
Kangsar. Lebih 10,000 datang untuk memberikan penghormatan, takziah dan
solat jenazah termasuklah duta-duta asing dan juga pemimpin UMNO.
Sebelum menamatkan posting pada kali ini,
Chemek ingin menekankan agar kita terus mencari ilmu dan maklumat yang
benar lebih-lebih lagi maklumat mengenai sejarah.
Selain itu sebagai rakyat, kita mesti
bijak dan kritikal dalam membuat pemilihan siapakah pemimpin yang
akan diundi bagi bekerja untuk rakyat. Mereka ini mesti ikhlas bekerja
sebagai wakil rakyat untuk semua (bukan untuk ahli Pas ataupun untuk
ahli umno semata-mata).
Chemek sempat mendengar semula rakaman
amanat Dr Zulkifli Muhammad dalam satu ceramah beliau. Dikatakan ucapan
itu adalah ucapan terakhir daripada beliau sebelum beliau terlibat di
dalam kemalangan. Antara perkara yang menyentuh hati Chemek ialah soal
keikhlasan untuk berbakti kepada rakyat telah diperkatakan oleh tokoh
ini. Keikhlasan inilah menurut beliau akan menjadi bekal untuk kita bawa
apabila kita pulang kepada Allah s.w.t. Siapa menyangka rupanya inilah
pesanan terakhir beliau kepada pemimpin ketika itu.
-
Chemek juga ingin cadangkan kepada Pas Kelantan agar menjadikan ruang Dewan Zulkifli sebagai Galeri Sejarah Pas Kelantan. Selain dari peranan hariannya sebagai tempat solat awam.
-
Kewujudan galeri ini kelak bukan sahaja boleh dimanfaatkan oleh generasi hari ini, malah ia dapat menjadi sumber dan tempat untuk mengumpul dan mempelajari sejarah perjuangan Pas yang sudah lebih 50 tahun menabur bakti kepada masyarakat di samping menerima kunjungan pelawat dan muda-mudi. Jika tidak dihimpun sejara-sejarah ini, pengetahuan mengenai perjuangan Pas ini akan hilang sesudah kita kehilangan tokoh-tokoh ini.
No comments:
Post a Comment