Sejarah PAS 24: Perginya Ustaz Zulkifli..
Gambar atas : Ustaz Zulkifli. Bawah: Rumah tinggalan Allahyarham di Perak (sila rujuk http://ummuaimi.blogspot.com/ ).
IBNU HASYIM: Fokus Sejarah PAS Siri 24
PADA
6 Mei 1964 dalam perjalanan pulang dari Bacok Kelantan ke rumah ayahnya
ke Kuala Kangsar, Ustaz Zulkifle Muhammad berada di dalam kereta jenis
Fiat bernombor JB 9977. Kira-kira pukul 7 malam, sesampainya di suatu
jalan sempit, batu 4 ½ , Jalan Kuantan Pahang, keretanya telah
berlanggar dengan sebuah land rover yang datang bertentangan dari
hadapan.
Isterinya
meninggal di ribanya waktu itu juga, sedangkan beliau sendiri meninggal
semasa dalam perjalanan ke hospital. Dalam perjalanan yang panjang dari
Bacok itu, beliau dikatakan terus berbincang mengenai penubuhan Yayasan
Tinggi Islam Nilam Puri Kelantan, dalam usaha menubuhkan Universiti
Islam, bagi merealisasikan system pendidikan Islam di negara ini.
Menurut Allahyarhan Tan Sri Dr Muhammad Asri Haji Muda:
“Professor
Ustaz Zuikiflli Muhammad dalam masa hayatnya, telah meyakinkan bahawa
Islam di Tanah Melayu tidak akan boleh dibangun dan tidak akan mencapai
keagungannya melainkan dengan dua jalan. Yang pertama melalui pendidikan
dan pelajaran, dan yang kedua melalui kuasa politik yang wajib dimiliki
oleh umat Islam. Beliau menekankan, jangan sesiapa mengharapkan Islam
akan terbela di tanah air kita ini, kalau kuasa pemerintahan negara
tidak umat 100% Islam yang memegangnya.”
Pada
awal tahun 50an melalui akhbar dan ceramah beliau menyuarakan penubuhan
sebuah kolej Islam sebagai asas kearah university Islam. Tahun 1954,
usaha-usaha dijalankan di Johor Bharu, Sultan Hishamuddin Alam Shah,
Sultan Selangor telah menganugerahkan istananya di Kelang untuk
dijadikan bangunan awal Kolej Islam Malaya. Tahun 1955 beliau dilantik
menjadi Setiausaha Kolej tersebut. Dua tahun kemudian dilantik menjadi
pensyarah Pengajian Melayu, Perundangan dan Tata Negara Islam, juga
Kesusasteraan Arab.
Pada
15 Julai 1957, beliau dianugerahkan Professor Kehormat dari Universiti
Sawerigading Indonesia. Walaupun menjadi pembangkang, beliau pernah
dilantik menjadi Ahli Majlis Universiti Malaya 1960-1961 dan Ahli Jemaah
Pengurus Sekolah Menengah Sultanah Zainab Kota Bharu Kelantan. Datuk
Haji Muhammad Asri yang baru bergelar Tan Sri juga mengatakan sewaktu
memberi kata pengantar buku tulisan Zulkifli Muhammad berjudul ‘Analisis Tentang Beberapa Masalah Hidup Manusia’ terbitan di Pulau Pinang 1968, beliau menulis:
“Saya
mengenali beliau sebagai pujangga dengan membaca syair-syair dan
sajak-sajaknya. Saya kenal dia sebagai ahli fikir dengan menatap
karangan-karangannya di majalah-majalah dan risalah-risalah yang
ditulisnya. Saya kenal dia sebagai juru pendidik dengan perkhidmatannya
di Kolej Islam sebagai Setiausaha dan Pensyarah. Saya kenal dia sebagai
ahli ilmu dengan ceramah-ceramah ilmiah yang diberikan di kolej-kolej
dan universiti, ditambah dengan karya-karyanya yang membahas pelbagai
bidang ilmu pengtahuan.”
Ustaz
Zul pernah ikutserta dalam Gabungan Dewan Perniagaan Melayu Malaya,
antara kegiatan yang dicadangkan termasuklah Program Rancangan Lima
Tahun dan Pembentukan Bank Melayu. Pada 1 Mei 1955, beliau membentangkan
satu kertas kerja bertajuk ‘Preadvice Tentang Perusahaan Pengangkutan Melayu’ dalam satu Persidangan Perusahaan Pengangkutan Melayu Se Malaya anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaya di Ipoh.
Dalam
kertas kerja itu beliau mengemukakan bahawa kelemahan orang Melayu di
bidang tersebut disebabkan oleh kelemahan modal, latihan teknik,
perhubungan perniagaan dan pengalaman, serta saranan-saranan untuk
memperbaikinya supaya membolehkan berlakunya pertumbuhan ekonomi yang
pesat di kalangan orang-orang Melayu. Di bidang sosial pula, beliau
melihat peranan filem Melayu dalam mempengaruhi masyarakat.
Menurut tulisannya:
“Sebagai
satu benda filem adalah bermata dua. Ia boleh digunakan bagi kebajikan
dan bagi kejahatan. Kita tiada boleh dan jangan sekali-kali menghukum
bahawa filem itu hanya berkesan buruk pada masyarakat. Buruk baiknya
adalah pada kita anggota masyarakat sendiri. Cara filem yang kita
kehendak dan lakunan yang kita hargai adalah menentukan kesan filem
kepada kita.”
Bagi
Ustaz Zul, filem-filem Melayu mestilah mempunyai identitinya
tersendiri. Tidak wajar bagi filem Melayu dan pelakonnya meniru apa yang
terdapat di barat sebagai satu nilai. Beliau berkeyakinan bahawa filem
Melayu boleh mencapai mutu seperti filem-filem asing serta dapat
memberikan pengajaran berdasarkan nilai-nilai tempatan, jika bimbingan
yang sewajarnya diberikan kepada pengusaha-pengusaha filem tersebut.
Beliau juga menyokong tindakan Lembaga Penapis Filem terhadap filem ‘Kipas Hikmat’ yang diselitkan dengan unsur-unsur yang tidak sihat.
Katanya dalam akhbar ‘New Straits Times’ pada 9 Mac 1955:
“Malay film actresses should not copy what actresses in auther parts of the world do. We have a different way of live and culture.”
Menurut Tan Sri Muhammad Asri lagi:
“Saya
kenal dia sebagai ahli pidato dengan syarahannya yang memikat dan
suaranya yang mengguntur di hadapan khalayak ramai dengan stailnya yang
tersendiri. Saya kenal dia sebagai Ahli Parlimen yang cekap dan
peranannya yang aktif sebagai anggota parti pembangkang yang terkemuka,
mewakili partinya (PAS) dalam Dewan Rakyat Malaysia, yang mengikut kata
orang belum ada Ahli Parlimen Malaysia yang boleh menandinginya sampai
sekarang. Di atas dari semua itu, saya kenal dia sebagai seorang
pemimpin yang berkelibar besar disegani oleh lawan dan kawan.”
Menurut ‘Berita Harian’ 8 Mei 1964, Tunku Abdul Rahman mengulas tentang kematiannya mengatakan:
“Beliau
telah memberikan sumbangan-sumbangan yang sangat berguna dalam
perbahasan-perbahasan di Parlimen, kerana itu kehilangannya akan turut
dirasakan di Parlimen.”
Beliaulah
orang yang pertama menempa sejarah berucap empat jam berturut-turut di
Parlimen. Dari laporan-laporan Parlimen di dapati beliau mengemukakan
hujjah-hujjah bernas dan berkualiti tinggi. Membangkitkan hak
orang-orang Melayu dan gemar berucap mengenai ekonomi dan kewangan
negara, sehingga beliau dilantik menduduki Public Accounts Committee.
Umpamanya dalam November 1959, beliau membangkitkan soal-soal
kerakyatan, cukai, minuman keras, pertanian seperti koperasi dan bidang
teknik, hak Melayu dan nperkembangan bahasa Melayu, pengiktirafan sijil
Kolej Islam Malaya, Pusat Latihan Guru dan menghentikan penghantaran
guru ke Brinsford dan Kirby di United Kingdom.
Disember
1959, beliau membangkitkan soal kerakyatan, perang saraf, pelajaran
dewasa, rumah murah, penuntut Melayu di Mesir, Bahasa Melayu, cukai
import, perlunya institute penyelidikan industry dan lain-lain. April
1960, mengenai bahasa Melayu sebagai pengantar, ekonomi orang Melayu
termasuk RIDA. Ogos hingga Disember 1960 mengenai pendatang haram, orang
Melayu luar negeri, Laporan Razak mengenai pelajaran, pengiktirafan ke
atas negara Israel, perlunya Malay Economic Secretariat, ali baba, RIDA,
cukai, anti corruption agency, architecture kebangsaan dan perlunya
rumah-rumah murah kakitangan kerajaan berpendapatan rendah.
Dalam
tahun 1961, beliau mengemukakan pendapat mengenai Rancangan Pembangunan
Lima Tahun mengenai pelajaran dewasa, penggunaan Bahasa Melayu RIDA,
FELDA, Dewan Bahasa dan Pustaka, menentang penubuhan Malaysia, dasar
pelajaran dan rasuah. Tahun 1962, mengemukakan perlunya Staff Training
Centre, Public Record, Crown Agent, RIDA, kemunduran pelajar Melayu,
pengjian Islam, Kolej Islam, penubuhan Tabung Haji, perturan
sekolah-sekolah, Kolej Pertanian, Bahasa Kebangsaan, perlunya
Secretariat Melayu Kuala Lumpur, bahasa Melayu di mahkamah dan
keselamatan jalan raya.
Pada
19 Ogos 1963, beliau berucap menentang penubuhan Malaysia dari jam
10.00 pagi hingga 1.00 tengahari. Sehingga Januari 1964 penggal terakhir
parlimen bersidang sebelum pilihan raya umum 1964, dari perkara
sebesar-besarnya hingga sekeci-kecilnya, yang tidak dapat diselesaikan
dibawa ke Parlimen seperti Bahasa Kebangsaan, Syarikat Kerjasama, dasar
luar negara Association of Southeast Asia (ASA), kesihatan, sehingga
kepada pengaduan bekas seorang mata-mata memohon jawatan pemandu Mohd
Yusof Mohd Zain, dan bekas mata-mata dari Seberang Pumpong Alor Setar
yang mengadi diberhentikan kerja.
Akhbar Utusan Melayu pada 10 MEI 1964 mengatakan:
“Juga
bagi PAS kehilangan Ustaz Zul itu merupakan kehilangan suatu alam
fikiran. Alam fikiran Ustaz Zulkifli Muhammad merupakan keperibadian PAS
di samping Dr Burhanuddin.”
Ustaz
Zul berfikiran terbuka dan berpandangan jauh ke depan. Semasa menuntut
di Mesir beliau menubuhkan dan menjadi Presiden ‘Egyption Relief Fun
Committee’, sebuah badan kebajikan yang dianggotai oleh orang-orang
Islam dan bukan Islam. Beliau mampu melaksanakan suatu bentuk kerjasama
antara kaum dan agama untuk keadilan seperti mengutuk pencerobohan
Israel dan lain-lain. Ustaz Zul berpendapat, bahawa Islam tidak dapat
ditegakkan dalam negara ini tanpa sokongan orang-orang bukan Islam,
malahan mereka mempunyai hak masing-masingdi dalam sesebuah negara
Islam.
Beliau
juga berpendapat bahawa, jika lambat laun PAS menguasai Kuala Lumpur
atau Kerajaan Persekutuan, itu bermakna pemerintahan PAS di Kelantan
akan terus menerus lemah. Kerana itu beliau mencadangkan supaya PAS
membuka pintu keahlian kepada warga negara Malaysia yang bukan Islam
sebagai Ahli Bersekutu. Menurutnya ‘satu perkara yang perlu dilakukan
segera’. Tetapi ditolak oleh Jawatankuasa Agung PAS yang menurut Saudara
Amaluddin Darus ‘semata-mata kerana takut kalah pilihan raya’
Dalam ucapan dasar Muktamar Agung PAS ke 12 tahun 1964, Dr Burhanuddin Al-Helmi, Yang Di Pertua Agung PAS ke 3 mengatakan:
“Berpulangnya
Timbalan Yang Di Pertua kita yang dikasihi, Professor Zulkifli Muhammad
bersama isterinya Ustazah Asiah Kamaruddin selaku Naib Ketua Dewan
Muslimat ke rahmatullah, adalah suatu peristiwa yang cukup mengharukan
hati dan perasaan kita. Hingga saat ini suasana muram dan sedih masih
menyelubungin kita semua. Beliau telah pergi dengan meninggalkan kita
amanat-amanat perjuangan yang tidak dapat kita lupakan. Yang tetap
menjadi kenangan yang tidak kunjung padam.
Beliau
telah pergi sesudah beliau menunaikan tugas beliau sebagai pemimpin
yang berani, jujur dan bijaksana. Tidak hairanlah kalau kepergiannya
dianggap suatu kehilangan besar kepada kawan dan lawan. Tidak hairanlah,
kalau Perdana Menteri Malaysia sendiri telah mensifatkan beliau sebagai
Pahlawan Demokrasi. Parlimen Malaysia telah mensifatkan beliau sebagai
‘tokoh parlimen yang payah ditandingi’. Malah Sultan Kelantan telah
mengurniakan Darjah Kebesaran Al-Muhammadi Yang Ke II, sebagai
mengiktiraf atas jasa-jasa dan kebaktian yang telah beliau berikan
selama hayatnya.
Memang
wajar orang besar tanahair ini berhak menerima penghargaan yang
sedemikian rupa, kerana kebesarannya adalah kebesaran perjuangannya.
Bagi parti kita PAS, kepergian beliau mempunyai makna yang tersendiri
kerana anggapan kita terhadap kebesaan Al-marhum ustaz Zulkifli Muhammad
adalah dari segi kepimpinannya selama memegang jawatan Timbalan Yang Di
Pertua. Sikap keberanian dan kecekapan, ketabahan dan kejujuran,
disertai oleh semangat sedia berkorban adalah antara sifar-sifat utama
yang memikat hati kita semua terhadap beliau dalam perjuangan PAS selama
ini.
Kini
beliau telah pergi dan kita yang tinggal akan menyambung terus
perjuangan ini. Marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah SWT semoga
dihimpunkan oleh Allah roh beliau suam isteri ke dalam himpunan para
syuhadak dan mujahidin. Sambil itu, marilah kita sama-sama menghadiahkan
bacaan Ummul Quran Al-Fatihah..”
Demikian
ucapa dasar Dr Burhanuddin selaku Yang Di Pertua Agung PAS . Kalaulah
perjuangan kebangkitan PAS ini boleh diibaratkan sebagai seekor burung,
di mana regu Burhanuddin-Zulkifli ini sebagai sayapnya, bolehkah
dikatakan sebelah sayapnya sudah patah terkulai menyebabkan penerbangan
perjuangan tersebut mula menjunam??
Abdul
Samad Gul Ahmad, pemimpin PAS ( Ketua Pemuda) pertama yang dibunuh...
sila lihat sejarah PAS sebelumnya. Sejarah PAS siri 12
No comments:
Post a Comment