Tuesday, January 15, 2013

SEJARAH KEBANGKITAN RAKYAT-DI TELUK GONG DAN DI BALING

MENGIMBAU SEJARAH KEBANGKITAN RAKYAT DI TELUK GONG DAN BALING 

TAKUT HADAPI RISIKO USAH BICARA TENTANG PERJUANGAN - ANWAR IBRAHIM 

TAKUT HADAPI KRITIK  USAH JADI AHLI  POLITIK


Simbol kebangkitan rakyat lawan penindasan


Kenangan (Anwar Ibrahim) 1974 tatkala memimpin Demonstrasi Baling; anak muda bangkit pertahan hak golongan miskin.

Penganjuran Syarahan Demonstrasi Baling yang dianjurkan Angkatan Muda Keadilan pada 10 Disember 2012 yang lepas menarik  kita untuk mengungkapkan semula gelombang kebangkitan rakyat yang dipimpin oleh golongan tani dan mahasiswa.
Gerakan Mahasiswa yang ditonjolkan oleh generasi 60 an/ 70 an adalah merupakan satu gelombang yang lahir dari hari nurani generasi muda.Mereka  memperjuangkan nasib rakyat yang  ditekan oleh pemerintah.
Dalam melihat hal ini saya suka untuk merujuk kepada sebuah buku lama yang diterbitkan pada tahun 1969 oleh Prof Faeur dari Universiti Toronto dalam bukunya The Conflict of Generation – The Character and Significant of the Student Movement.  

Beliau   menyatakan bahawa protes dan bantahan yang ditunjukkan oleh mahasiswa adalah hasil daripada ‘konflik generasi’ atau generational conflict.
Konflik antara ‘generasi baru’ dan ‘generasi lama’,  disebabkan oleh
 kerosakan moral, 
peradaban yang rosak, lapok,
 penyalah gunaan kuasa, 
tidak bertanggungjawab dan
 melakukan penindasan. 

Konflik antara generasi yang dicetuskan oleh penindasan menjadi faktor utama kebangkitan rakyat untuk nyatakan hak.
Peranan mahasiswa dalam kebangkitan rakyat jelas terpancar ditambahkan lagi puisi yang dinukilkan oleh Usman Awang (1967):



Dengan Buku di tangan kau nyayikan lagu itu
Meresap pada jantung bangsa
Lagu daerah teluk gong

Dari ruang sudut pidato
Pecahlah kaca menara gading
Dengan Berani berteriak
Untuk petani-petani yang tertindas

Lihat pancar mata ayah mu di desa
Lihat senyum ibu mu di kampung
Kebanggaan bahawa kau anak mereka
Sajak ini yang dinukilkan oleh Usman Awang sebagai tanda hormat dan penghargaan beliau kepada mahasiswa yang memperjuangkan isu Telok Gong 1967. Tragedi yang sama juga berulang lagi 7 tahun selepas itu pada tahun 1974.  

Selepas pilihanraya 1974 negara digemparkan dengan kenaikan harga barang dan kejatuhan ekonomi termasuklah harga getah yang merudum.
Keadaan menjadi teruk apabila dikejutkan dengan berita kebuluran yang berlaku di Kedah sehingga ada dikalangan rakyatnya yang terpaksa makan sejenis ubi kayu "gadung" yang mengandungi racun. Oleh kerana itu berlakunya kes kematian walaupun pihak kerajaan menafikan dakwaan tersebut.
Malaysia ketika ini menyaksikan kebangkitan besar-besaran mahasiswa pasca merdeka.Mereka menyatakan pandangan dan bantahan ke atas apa yang telah berlaku. 

Dalam sejarah gerakan mahasiswa, ini adalah  gerakan terbesar terbesar  yang pernah dicatatkan, dengan melibatkan hampir 10 000 orang mahasiswa, hampir 2000 orang mahasiswa ditangkap, dan tahanan ISA yang paling lama pernah dikenakan kepada mahasiswa.
Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu adalah Presiden ABIM telah ditahan selama 2 tahun di bawah ISA dan Dr Syed Husin Ali selaku pensyarah Universiti Malaya yang ditahan dibawah ISA selama 6 tahun.
Akta Universiti dan Kolej Universiti telah dirangka lebih awal iaitu pada tahun 1971, tetapi peruntukan undang-undang di dalam akta tersebut dikatakan tidak cukup ketat bagi mengekang gerakan mahasiswa pada ketika itu. Demonstrasi Baling adalah merupakan alasan oleh pihak kerajaan untuk meminda akta tersebut pada tahun 1975.
Pada ketika ini segala pertubuhan mahasiswa adalah berdaftar dibawah universiti dengan meletakkan kuasa mutlak kepada Naib Canselor dan Menteri yang dipertanggungjawabkan. 

Mahasiswa dilarang sama sekali untuk terlibat dengan politik dan pertubuhan luar. Ini adalah merupakan satu tragedi hitam dalam sejarah mahasiswa.
Saya juga ingin memetik beberapa catatan yang diterbitkan dalam Makalah Ar-Risalah 1975:
“Perhimpunan pelajar-pelajar tersebut telah disuraikan oleh FRU dengan tembakan gas pemedih mata. Pelajar-pelajar telah melarikan diri ke Masjid Negara tetapi FRU terus mengejar mereka.

 FRU telah mengepung 8,000 pelajar yang sedang berlindung di Masjid serta melepaskan tembakan-tembakan gas pemedih mata kearahnya. Ketika berada di dalam masjid pelajar-pelajar tersebut telah melaung-laungkan kalimat "ALLAHU AKBAR" dan beberapa kali mereka setelah mengalunkan azan.

 Sementara menunggu ketibaan waktu zohor mereka telah berzikir beramai-ramai selama kira-kira 20 minit. Setelah masuk waktu mereka telah menunaikan Fardzu Zohor secara berjema'ah .
Pihak FRU terus berusaha untuk memberkas pelajar-pelajar dan dalam operasi tersebut beberapa orang pelajar telah cedera. Akhirnya pihak FRU telah menangkap seramai 1,128 orang pelajar, termasuk 80 orang ,pelajar wanita dan membawa mereka kebalai-balai polis Sentul, Brickfield dan Jalan Bandar. 

Pada sebelah malamnya mereka telah ditempatkan di Polis Depot Jalan Gurney. Pelajar-pelajar yang ditahan hanya diberi makan selepas 11.00 malam.
Ketika berada dalam tahanan pelajar pelajar tersebut dikatakan telah azan pada tiap-tiap kali masuk waktu dan menunaikan sembahyang dengan berjema ah secara bergilir-gilir. 

Kesemua pelajar-pelajar yang ditahan telah dihadapkan ke Mahkamah pada keesukan harinya. Kesemuanya telah tidak mengaku salah. Mereka telah dibebaskan dengan dibenarkan menjamin diri sendiri sebanyak antara $200.00 hingga $300.00 seorang.

 Mereka akan dibicarakan antara Februari hingga April tahun 1975. Tangkapan tersebut telah tidak dapat menahan pelajar pelajar dari terus berdemonsttasi meskipun hanya terbatas dikampus-kampus sahaja, kerana dikawal ketat oleh FRU. 

Demo dalam kamous itu berjalan beberapa hari. Tindakan lanjut yang diambil oleh pemerintah ialah gerakan menangkap pemimpin-pemimpin pelajar, pensyarah-pensyarah dan pemimpin-pemimpin belia.
Polis telah memasuki kampus Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan pada pada 2.00 pagi hari Ahad 8hb Disember 1974. Polis telah menggeledah bilik-bilik asrama, pejabat-pejabat dan lain-lain bangunan Universiti untuk mencari dan menangkap mahasiswa di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.”
Pengajaran besar yang harus diambil daripada Demonstrasi Baling selain daripada keberanian mahasiswa menjadi juru bicara rakyat adalah iktibar kepada isu yang diperjuangkan oleh mahasiswa ketika itu tidak bersifat ‘self centered’ yang berlegar disekitar isu dalaman dan isu yang remeh temeh. Tuntutan-tuntutan yang dikemukan adalah bersifat nasional menunjukkan kematangan mahasiswa di dalam berfikir.
Menghayati sejarah bererti bukan disimpan di dalam peti muzium untuk kenang-kenangan, tetapi sejarah adalah coretan pengalaman untuk membina sesuatu yang lebih baik pada masa akan datang. 

Mahasiswa seharusnya berasa jelek dengan perkataan ‘senyap’. Bersikap apologia dengan ‘Berdiam Diri’ dan ‘Berpeluk Tubuh’ melihat kecelakaan berlaku kepada rakyat.
Mahasiswa adalah kelompok terdidik dalam masyarakat punya idealisma dan aktivisma yang tinggi untuk menyatakan hati nurani majoriti yang ditindas dan dizalimi. Kronisme dan pembaziran wang ringgit Negara untuk segolongan kecil dalam masyarakat tidak boleh ditolensi lagi.
Dalam aspek ini saya amat bersetuju dengan apa yang diungkapkan oleh Prof Diraja Ungku Aziz, Kepimpinan akan lahir daripada mahasiswa yang ‘terpelajar’ dan ‘mencabar’ walaupun beliau sendiri terlibat dalam mengekang mahasiswa dalam peristiwa 3 Disember 1974.
Diakhir tulisan saya, saya ingin meninggalkan persoalan apakah yang bakal kita lakukan apabila harga barangan dan bebanan sara hidup yang makin tinggi? - 

Oleh: Mohd Saifullah Zulkifli, Pengarah Biro Mahasiswa, AMK, PKR

No comments:

Post a Comment