Thursday, January 31, 2013

PERJUANGAN BLOGGER DI ALAM MAYA

Gerakan Revolusi 2013,Blogger-blogger PR Ditubuhkan.


KL 4 Apr 11:
Hasil pemukiman blogger yang menyokong Pakatan Rakyat (PR) semalam, berjaya membentuk satu gerakan Revolusi 2013 yang menjurus ke arah membangkitkan kesedaran minda dalam kalangan rakyat menjelang PRU 13 nanti.

Presiden gerakan penulis maya, Tarmizi Mohd Jam berkata, dengan wujudnya platform ini bakal membolehkan semua blogger PR bertindak dengan lebih pantas, bersepadu dan berkesan.

Katanya, gerakan Revolusi 2013 ini diharapkan menjadi landasan berkesan dalam usaha PR meyakinkan rakyat untuk mereka kembali melihat keperluan terdesak memberikan sokongan kepada PR dan menolak BN.

Revolusi 2013 yang menggunakan tagline Bebaskan Malaysia, Selamatkan Rakyat akan menjalankan peranan mereka menerusi media maya yang dibenarkan oleh undang-undang negara dengan melihat usaha ini perlu dan amat perlu disegerakan.


"Semua pihak yang menyokong Pakatan Rakyat akan meneruskan usaha konvensional selama ini dengan ceramah dan media cetak untuk mereka yang tiada capaian internet, gerakan ini pula melangkaui sempadan dan warna kulit.

"Kita sedar ramai di kalangan mereka yang tidak mempunyai capaian internet bagi mengikuti perkembangan semasa dengan lebih cepat, namun ada usaha yang perlu dilakukan lebih sedikit oleh pemimpin parti peringkat tempatan.

"Mereka boleh melayari internet dan mengikuti perkembangan politik semasa dan di masa sama mereka boleh mencetak atau menayangkan semula kepada anggota masyarakat dan rakyat menerusi kemudahan teknologi tertentu yang mereka miliki," tegasnya.

Program dua hari ini diadakan di Ampang dengan perasmian dan penutupnya oleh Exco Penerangan Kerajaan Kelantan, Datuk Dr Mohammed Fadzli Datuk Hassan.

Dua pembentangan kertas kerja bertindak telah dilakukan oleh Pengasas Zentrum Future Studies yang juga pensyarah kanan Jabatan Media dan Komunikasi UM, Prof Dr Abu Hassan Hasbullah dan AJK PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar."
(IH/Harakah)

No comments:

Post a Comment