Isnin, 5 September 2011
SIRI WAWANCARA BAHAGIAN 4 (ABDULLAH CD)
Abdullah
CD adalah seorang tokoh pejuangan kemerdekaan veteran yang ulung.
Beliau pernah mendapat pendidikan di Clifford School, Kuala Kangsar.
Kerana fikiran beliau yang cerdas terbuka, beliau telah menerima
pengaruh progresif dari bangku sekolah lagi, khasnya oleh guru-guru yang
demokratik, ahli-ahli KMM dan tokoh veteran revolusi Indonesia tahun
1926 yang tinggal di Malaya (kini Malaysia). Demi cita-cita
kemerdekaan tanah air, beliau telah menyertai KMM, PKMM dan PKM.
Beliau adalah rakan seperjuangan akrab tokoh nasional yang terkemuka
seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, Ishak Haji Mohamad,
Mustapha Hussein dan lain-lain. Pada bulan Mei 1949, beliau telah
mengasas dan memimpin Rejimen ke-10, satu-satunya pasukan Melayu yang
berjuang melawan penjajah British secara bersenjata untuk kemerdekaan
tanah air. Kemudian, pada tahun 1985, beliau dipilih sebagai Pengerusi
PKM.
Soalan: Banyak orang, khasnya angkatan baru, sangat ingin mengetahui tentang Bapak secara lebih dekat. Mereka bukan sahaja mahu menambahkan pengetahuan sendiri, bahkan mahu merakamkan perjuangan Bapak dalam lembaran sejarah tanah air. Ada orang mengatakan kisah perjuangan Bapak selama kira-kira setengah abad sudah menjadi legenda, Bapak seorang keramat dan lain-lain.
Abdullah C.D.: (ketawa) Saya bukan keramat, saya manusia biasa saja.
Soalan: Bolehkah Bapak terangkan sedikit tentang latar belakang Bapak?
Abdullah C.D.: Saya anak Perak, lahir di Lambur Kiri, Daerah Parit, pada bulan Oktober 1923. Bapa saya bernama Anjang Abdullah, seorang petani sedang. Dia juga ketua kampung. Emak bernama Halimah, seorang suri rumah tangga. Kami hanya dua beradik, iaitu seorang kakak dan saya sendiri.
Soalan: Kami difahamkan nama Abdullah C.D. bukanlah nama sebenar Bapak, tetapi “nama perjuangan”. Benarkah?
Abdullah C.D.: Benar. Nama lahir atau nama sebenar saya ialah Cik Dat. Tapi, selepas perang, ketika saya terlibat dalam gerakan buruh dan PKMM, kerana keperluan perjuangan, saya menggunakan Abdullah C.D.
Soalan: Bagaimana tentang pendidikan Bapak?
Abdullah C.D.: Mula-mula saya belajar di Sekolah Melayu Lambor, Parit, dan tamat Darjah Lima. Kemudian, saya masuk Sekolah Inggeris Tapah, tapi lepas itu, Sekolah Inggeris Clifford, Kuala Kangsar. Saya sempat belajar Inggeris setakat Darjah 7 saja kerana tercetusnya perang.
Soalan: Benarkah Bapak terlibat dalam gerakan kemerdekaan masa di sekolah lagi?
Abdullah C.D.: Benar.
Soalan: Apakah yang mula-mula mempengaruhi Bapak?
Abdullah C.D.: Bapa saya, guru-guru, dan kegiatan di sekolah setelah berdirinya Kesatuan Melayu Muda (KMM).
Soalan: Bolehkah Bapak ceritakan sedikit soal ini?
Abdullah C.D.: Saudara pun tahu, rakyat Perak memang terkenal dengan semangat anti-penjajah. Pengaruh Perang Maharajalela pada tahun 1875 memang mendalam. Sungguhpun perang itu gagal, tapi semangat rakyat terus membara. Awal abad itu, kalau tak silap tahun 1930-an, rakyat Perak nak berontak lagi – di Kuala Kangsar, Parit dan lain-lain tempat. Salah seorang penganjurnya ialah Raja Chulan, keluarga diraja Perak. Pemberontakan ini ditindas oleh British dan ramai orang ditangkap. Tapi Almarhum Sultan Perak ampunkan mereka. Bapa saya salah seorang yang terlibat dalam gerakan ini. Kisah-kisah perjuangan begini selalu bapa saya ceritakan kepada saya.
Soalan: Bagaimana dengan guru-guru Bapak?
Abdullah C.D.: Saya bernasib baik kerana ketika di sekolah Melayu, ada seorang guru, Cikgu Karib namanya, sangat ambil berat terhadap saya. Beliau lulusan Tanjung Malim (Maktab Perguruan Sultan Idris) yang merupakan tempat semaian semangat kebangsaan Melayu. Beliau mengajar saya di sekolah waktu siang. Waktu malam pula, bapa saya hantar saya belajar di rumahnya. Cikgu Karib menanam semangat patriotisme pada diri saya.
Seperkara lagi, semasa di Sekolah Inggeris Clifford, Mr. Lewis, seorang Inggeris yang menjadi guru besar di situ, agak maju juga. Beliau menjelaskan kepada saya tentang keburukan kapitalisme serta menganjurkan supaya saya membaca buku-buku Marx dan belajar falsafah Marxis.
Soalan: Babak ada menyatakan bahawa bapak membaca buku-buku Marx dan belajar falsafah Marxis. Apa pandangan Bapak tentang falsafah Marxis?
Abdullah C.D.: Bagi saya falsafah Marxis itu adalah satu senjata yang terbaik dalam perjuangan untuk kemerdekaan tanah air dan untuk kemajuan masyarakat umat manusia. Kami tidak memandang Marxisme itu sebagai “dogma”, atau pegangan ketat yang kaku dan tidak boleh berubah, tetapi memadukannya sesuai dengan syarat dan keadaan di Malaya.
Akan tetapi, dalam masalah ini, ada orang menganggap kerana kami menggunakan Marxisme, maka kami tidak beragama atau menentang agama. Pandangan seperti ini sebenarnya telah diracuni oleh hasutan penjajah. PKM melaksanakan dasar kebebasan beragama dan menghormati adat istiadat rakyat semua bangsa. Saya dilahirkan sebagai Islam dan dibesarkan dengan didikan Islam. Di mana juga saya berada, pegangan ini tetap tidak berubah.
Soalan: Ada orang Melayu yang menolak PKM kerana menganggap komunis telah keluar dari agama Islam. Apa pandangan Bapak tentang hal ini?
Jawapan: Komunisme adalah musuh kapitalisme. Fikiran antikomunis sebenarnya ditimbulkan oleh penjajah sebagai bapa kapitalisme. Apa yang saya nampak dalam perjuangan orang Melayu selepas Perang Dunia Kedua iaitu tahun-tahun 45-48, orang Melayu yang progres (kiri) atau yang mahukan kemerdekaan pada umumnya tidak antikomunis, tetapi mereka yang lebih rapat dengan penjajah yang diwakili UMNO yang kuat antikomunis.
Dalam perjuangan besar untuk kemerdekaan tanah air, kaum komunis, nasionalis, dan agama telah bersatu melawan penjajah. Di Malaya PKM dan PKMM bekerjasama sangat rapat. Dr. Burhanuddin seorang tokoh agama yang berpandangan jauh adalah rakan seperjuangan saya yang paling rapat. Front Persatuan Putera-AMCJA merupakan contoh nyata gabungan berbagai kekuatan tersebut. Sebagai taktik dengn penjajah British, PKM tidak tampil ke depan, tetapi ia memainkan peranan terpenting di belakang barisan bersatu tersebut. Hal ini berlaku juga di Indonesia. Mereka telah membentuk front persatuan di atas dasar NASAKOM iaitu nasionalis, sosialis, agama dan komunis.
Dalam perjuangan bersenjata melawan penjajah British kali ini pula ramai tokoh agama yang menyokong perjuangan bersenjata khasnya Rejimen Ke-10, mereka menganggap perajurit Rejimen Ke-10 sebagai jihad untuk memperjuangkan tanah air dan agama.
Soalan: Bagaimanakah penglibatan Bapak dengan Kesatuan Melayu Muda (KMM)?
Abdullah C.D.: Pengaruh KMM sudah meresap ke Sekolah Clifford kira-kira tahun 1939. Banyak buku dari Indonesia sudah sampai ke tangan kami. Waktu malam kami adakan perbincangan politik secara rahsia. Kami tertarik dengan semboyan “Merdeka” yang dilantangkan oleh KMM. Jadi apabila cawangan KMM ditubuhkan, saya pun menjadi anggotanya. Kemudian, saya dipilih menjadi Setiausaha KMM cawangan Lambur, iaitu kampung halaman saya.
Soalan: Bolehkah Bapak ingat antara buku dari Indonesia yang benar-benar membangkitkan semangat juang Bapak?
Abdullah C.D: Buku-buku itu memang banyak. Saya sudah lupa tajuknya. Salah satu yang saya masih ingat ialah karya Tan Melaka.
Soalan: Siapakah antara tokoh revolusioner Indonesia yang pernah Bapak hubungi?
Abdullah C.D.: Ada beberapa orang. Antaranya Pak Jenain (Sutan Jenain), Alimin, Musso dan Suparto. Pak Jenain banyak membantu KMM dan PKMM. Alimin pernah singgah di Kuala Lumpur sekembalinya dari Moscow selepas perang dan menjelajahi seluruh Malaya mengadakan kursus. Apabila beliau pulang ke Indonesia, beliau hantar pula Suparto ke Kuala Lumpur.
Soalan: Apakah Bapak kenal tokoh kebangsaan waktu itu seperti Ibrahim Yaacob, Mustapha Hussain, Pak Sako dan Ahmad Boestamam?
Abdullah C.D.: Sebelum perang, saya masih lagi budak-budak, umur baru belasan tahun. Tokoh seperti Ibrahim Yaacob, Mustapha dan Ishak (Pak Sako) sudah dewasa. Ibrahim Yaacob saya kenal selaku Presiden KMM saja, tidak kenal secara peribadi. Mustapha dan Pak Sako saya kenal dan mendampingi mereka setelah kami bergerak dalam PKMM selepas perang. Boestamam agak sebaya dengan saya. Beliau lebih tua cuma beberapa tahun saja. Beliau penanggungjawab KMM di Ipoh, selainnya Taiping. Saya sudah rapat dengannya sejak sebelum perang lagi.
Soalan: Bagaimana dengan Dr. Burhanuddin?
Abdullah C.D.: Saya dan Doktor berkenalan sejak tahun 1945 semasa dalam PKMM. Sejak itu, kami sering bergerak ke sana ke mari bersama dan menjadi rakan seperjuangan yang akrab. Beliau dan saya bersama-sama mengetuai rombongan Malaya ke Persidangan Se-Asia di New Delhi, India, pada tahun 1947 untuk menentang kolonialisme.
Soalan: Dengan Pak Rashid Maidin, bagaimana?
Abdullah C.D.: Rashid anak Perak juga, berasal dari sebuah kampung dekat Gopeng, tak jauh dari Lambur. Saya kenal rapat dengannya sejak perang anti-Jepun, dan kami menjadi rakan seperjuangan yang paling akrab sampai hari ini.
Soalan: Ada orang menyatakan Pak Rashid sudah meninggal.
Abdullah C.D.: (ketawa) Itu cuma khabar angin. Beliau masih hidup, bahkan masih sihat dan aktif memimpin. Beliau seorang yang sangat gigih.
Soalan: Bolehkah Bapak ceritakan keadaan setelah Jepun menceroboh dan British menyerah diri?
Abdullah C.D.: Keadaan masa itu sangat kemelut. Pokoknya ada dua perkembangan penting dari segi perjuangan rakyat. Pertama, PKM, yang ditubuhkan pada tahun 1930, telah menyusun sebahagian rakyat melancarkan perjuangan. PKM mempunyai pengaruh yang luas di kalangan orang Cina. Di kalangan orang Melayu dan India, tak ada kader, hanya pada penghujung perang, pengaruhnya mula meluas. Untuk melawan Jepun, PKM tubuhkan Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya (TAJRM) dan melancarkan perang gerila. PKM juga bekerjasama dengan British dan mendapatkan sedikit senjata.
Kedua, semasa awal pendudukan Jepun, KMM dibenarkan bergerak secara terbuka. KMM mengambil sikap bekerjasama dengan Jepun untuk melawan British demi kemerdekaan Malaya. Ini sama seperti yang dilakukan Sukarno di Indonesia. Setelah KMM diharamkan pada tahun 1942, Ibrahim Yaacob dan beberapa tokoh lagi menubuhkan Malai Gyu Gun, atau PETA, iaitu sebuah pasukan tentera Melayu yang mengambil kesempatan daripada kemudahan yang diberikan Jepun dengan tujuan mencapai kemerdekaan. Sebelum Ibrahim berundur ke Indonesia, beliau cuba mengatur beberapa orang membawa PETA bergabung dengan pasukan TAJRM untuk sama-sama melawan British. Sayangnya, kerana keadaan berubah, rancangan itu gagal.
Soalan: Mengapa KMM diharamkan pada tahun 1942?
Abdullah C.D: Telah saya jelaskan di atas ialah KMM berjuang untuk kemerdekaan Malaya. Pada tahun 1942, Mustapha Hussein bagi pihak KMM mengajukan tuntutan untuk merdeka kepada pihak Jepun. Saya dan kawan-kawan KMM cawangan Lambor juga ikut menandatangani surat tuntutan tersebut. Kerana itulah pihak Jepun mengharamkan KMM.
Soalan: Apakah yang Bapak lakukan semasa pendudukan Jepun?
Abdullah C.D.: Mula-mula, saya bergerak terus dalam KMM selaku Setiausaha KMM di Lambor. Masa itu, saya sudah ada hubungan dengan pasukan gerila anti-Jepun. Kemudian, apabila Jepun mengharamkan KMM, saya, bersama beberapa orang lagi, masuk gerila TAJRM di Perak. Selain tugas tentera, saya juga melakukan kerja propaganda untuk melawan Jepun.
Soalan: Mengapa Bapak memilih TAJRM?
Abdullah C.D: Setelah KMM diharamkan oleh fasis Jepun, saya dan kawan-kawan sudah hilang organisasi untuk meneruskan perjuangan. Pada masa itu, hanya TAJRM satu-satunya tentera yang melawan fasis Jepun di bawah pimpinan PKM. Tentera British telah cabut lari dan menyerah kalah.
Soalan: Apakah tanggungjawab Bapak dalam Parti Komunis Malaya selepas perang?
Abdullah C.D.: Pada tahun 1946, saya dilantik menjadi Setiausaha Jabatan Kerja Melayu Jawatankuasa Pusat PKM, bertanggungjawab atas kerja Melayu dalam PKM serta gerakan massa Melayu.
Soalan: Bolehkah Bapak jelaskan sedikit tentang gerakan massa Melayu?
Abdullah C.D: Orang Melayu tinggi semangat juangnya. Dalam masa perang dunia kedua, kedua-dua belah tebing Sungai Perak menjadi pangkalan gerakan anti-Jepun yang kuat. Dalam masa aman pula, maksud saya selepas Jepun kalah, mereka menyokong gerakan PKMM sehingga anggota parti itu berjumlah 100,000 orang lebih. Setelah meletusnya darurat, orang Melayu di banyak tempat memanggul senjata melawan penjajah British seperti di Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor, Pahang, Kedah dan lain-lain. Kawasan Temerloh Pahang umpamanya, lebih separuh kawasan desa massa menyokong Rejimen Ke-10 sehingga penjajah British menganggap Temerloh sebagai kawasan Merah.
Soalan: Bagaimana dengan penubuhan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM)?
Abdullah C.D.: Gerakan kebangsaan di kalangan orang Melayu selepas perang lebih bergelora. Cita-cita kemerdekaan KMM diteruskan oleh PKMM. Kebanyakan penaja PKMM ialah bekas pemimpin dan anggota KMM dulu. Dalam PKMM, terdapat anggota daripada pelbagai aliran – nasionalis, agama, sosialis, komunis. Tapi, tak kira apa alirannya, kami dapat ketepikan perbezaan, dapat bersatu dan bekerjasama. Ini kerana kami adalah kaum patriot yang anti-imperialis, anti-kolonialis dan cintakan kemerdekaan, kebebasan. Kami menubuhkan PKMM pada bulan Oktober 1945 dalam kongres di Ipoh. Mokhtaruddin Lasso, Dr. Burhanuddin, Boestamam, Pak Sako, saya dan ramai lagi kawan masa itu bertanggungjawab mendirikan parti politik orang Melayu untuk memperjuangkan kemerdekaan. PKMM berkembang pesat dengan anggota kira-kira 100,000 orang.
Soalan: Bagaimana dengan UMNO?
Abdullah C.D.: UMNO lahir kemudian, iaitu pada bulan Mei 1946. Semboyannya waktu itu bukan “Merdeka”, tapi “Hidup Melayu”.
Soalan: Apakah sikap PKMM terhadap UMNO?
Abdullah C.D.: Dalam kongres perpaduan bangsa Melayu pada awal 1946, PKMM turut serta bersama UMNO. Pendek kata, kita nak kerjasama untuk menghalau British dan mencapai kemerdekaan. Tapi masa itu, saya masih ingat, sudah timbul perdebatan besar atas isu “Non” dan “Ko”. Kami dalam PKMM ambil sikap “Non”, yakni tidak bekerjasama dengan penjajah British, mesti terus berjuang untuk kemerdekaan.
Tapi, pemimpin UMNO ambil sikap “Ko”, iaitu bekerjasama dengan British. Mereka mengecam PKMM dan mengejek-ngejek semboyan “Merdeka”.
Kerana itu, PKMM ambil keputusan keluar daripada UMNO, dan terus membentuk gabungan pertubuhan-pertubuhan Melayu, lebih 60 buah semuanya, dalam Pusat Tenaga Rakyat atau PUTERA.
PUTERA kemudian bergabung dengan AMCJA. Gabungan PUTERA-AMCJA ini merupakan barisan bersatu anti-British berbilang kaum yang paling luas memperjuangkan kemerdekaan. Kami telah mengemukakan Perlembagaan Rakyat untuk menggantikan perlembagaan Melayu Union. Tapi British menolaknya dengan keras.
Soalan: Ada orang mengatakan PKMM tidak menentang Malayan Union. Benarkah?
Abdullah C.D.: Sebenarnya, sistem “Union” atau “Kesatuan” lebih baik daripada “federation” atau “Persekutuan”. Sistem persekutuan bagi negara kita meneruskan semangat kenegerian, kurang semangat kebangsaan yang menyeluruh. Dari segi ini, PKMM bersetuju dengan konsep “Union” pada prinsipnya. Tapi, “Malayan Union” ciptaan British, lain tujuannya. Ia bertujuan merampas kuasa raja-raja dan langsung tidak menyentuh soal kemerdekaan Malaya. Oleh itu, PKMM menentangnya bersama-sama dengan UMNO dan lain-lain pertubuhan waktu itu. Kerana tentangan menyeluruh inilah, rancangan Malayan Union British gagal.
Soalan: Apakah peranan Bapak dalam PKMM?
Abdullah C.D.: Dalam kongres kedua PKMM di Melaka, saya dipilih menjadi anggota Jawatankuasa Pusat dan juga Biro Politiknya. Dr. Burhanuddin menjadi Yang Dipertua, Ishak Naib Yang Dipertua. Saya juga bertanggungjawab atas pergerakan buruh Melayu dan kemudian menyatukannya dalam PMFTU yang berbilang kaum. Bersama Doktor, Rashid Maidin dan lain-lain, saya juga selalu berulang-alik ke Gunung Semanggol. Di sana, terdapat tokoh-tokoh agama yang penting dan berpengaruh, seperti Ustaz Abu Bakar Al-Bakir, mudir Maahad El-Ehya Assyarif. Tokoh-tokoh agama ini menubuhkan Parti Hizbul Muslimin yang bekerjasama dengan PKMM dan bergabung dalam PUTERA.
Soalan: Apakah tindakan yang diambil Bapak apabila British umumkan Darurat?
Abdullah C.D.: Gerakan PUTERA-AMCJA mendapat sambutan begitu luas daripada rakyat. Mogok dan hartal yang kami lancarkan cukup berkesan. Semangat “Merdeka” berkobar-kobar. Perpaduan kaum juga baik. Ini menyebabkan British sangat takut, lalu bertindak menindasnya.
Doktor, Boestamam dan saya telah mengadakan perbincangan khas di Kuala Lumpur dan mengambil keputusan, iaitu saya dan Boestamam membawa sejumlah kawan masuk hutan bergerila, Doktor dan kawan-kawan lain bergerak di bawah tanah. Boestamam telah menetapkan rancangannya untuk mendirikan pangkalan di Tanjung Malim dengan anak buahnya berjumlah kira-kira 60 orang. Tapi, Boestamam kena tangkap. Lepas itu, beliau dipenjarakan selama tujuh tahun. Saya juga kena tangkap di Ulu Dong, Pahang, tapi mujurlah, saya dapat melepaskan diri. Doktor bergerak di Singapura, tapi kena tangkap dan dipenjarakan kerana memimpin perjuangan orang Melayu dalam kes Natrah di Singapura pada akhir 1950. Rashid Maidin juga kena tangkap di rumahnya di Sungai Manik. Beliau dipenjarakan di Melaka, tapi dapat melepaskan diri lalu masuk hutan bergerila.
Ramai ahli PKMM masuk hutan bersama saya. Ramai juga yang tinggal di luar dan tak berparti telah masuk UMNO – seperti Mustapha Hussain, Hasnul Hadi dan ramai lagi, termasuk tokoh-tokoh penting UMNO selepas merdeka. Pada tahun 1950, UMNO Pahang telah mengemukakan semboyan merdeka. Kemudian kawan-kawan PKMM yang menyertai UMNO telah mengobarkan semboyan merdeka di dalam parti itu sehingga akhirnya telah mengubah semboyan UMNO dari “Hidup Melayu” menjadi “Merdeka”. Setelah Boestamam dan Doktor dibebaskan, mereka menubuhkan Partai Rakyat yang dipimpin oleh Boestamam. Doktor pula memimpin PAS. Semua ini telah tercatat dalam sejarah.
Soalan: Bolehkah ceritakan lebih sedikit bagaimana Bapak melepaskan diri daripada penangkapan penjajah?
Abdullah C. D.: Kami tiba di sebuah rumah di Ulu Dong hari hampir gelap. Belasan pemuda progresif datang bertemu dengan saya dan meminta hendak melihat bom tangan. Saya buka kep dan beri kepada mereka melihatnya dengan sepuas hati.
Kira-kira pukul 9.00 malam, tiba-tiba kami diserbu polis. Pada saat-saat yang genting itu, saya teringat akan bom tangan. Akan tetapi, saya berfikir pula kalau bom tangan itu dibuang, tentu para pemuda itu akan terkena. Jadi saya tidak membuangnya. Saya, Ah Tai dan pemuda-pemuda itu ditangkap, 14 orang semuanya, kalau tak salah ingat. Saya dan Ah Tai dibelenggu dengan satu gari, saya tangan kiri, manakala Ah Tai tangan kanan. Pemuda-pemuda itu diikat dengan tali. Kami digiring keluar dari rumah itu. Sejumlah dokumen yang saya bawa bersama dan bom tangan saya dirampas mereka. Saya masih ingat tarikh peristiwa itu ialah pada 10 Julai 1948.
Di depan saya dan Ah Tai ialah OCPD Raub, dan di belakang pula, OCPD Lipis. Kedua-duanya berbangsa Inggeris. Sambil mengancung pistol ke belakang kami, OCPD Lipis memberi amaran: “Jangan lari, nanti saya tembak”. Saya berbisik dengan Ah Tai bertekad mahu melucutkan gari itu walau tangan putus sekalipun. Sekali gus, saya merentap kuat-kuat gari di tangan. Alhamdulillah, gari segera terlucut. Saya memberitahu Ah Tai. Kami serentak menerkam dan memukul OCPD yang berjalan di depan sehingga ia terjatuh, kemudian lari dengan pantas.
Beberapa saat kemudian, polis-polis itu menembak ke arah kami. Saya dan Ah Tai segera berpecah, mengambil hala masing-masing. Saya masuk ke dalam kebun pisang dan menanggalkan baju saya yang berwarna putih sambil merangkak keluar dari situ. Polis penjajah menumpukan tembakan mereka ke arah baju tersebut.
Ah Tai yang lari membawa gari di tangan, mahir dengan keadaan di situ. Manakala saya pula meraba dalam dua kegelapan, pertama kegelapan malam dan kedua kegelapan kerana tak tahu sedikit pun keadaan sekitar di situ. Beberapa jam mengharungi kegelapan malam, akhirnya, saya nampak cahaya api berkelip-kelip.
Alhamdulillah, sekali lagi, saya terlepas daripada bahaya. Tuan rumah itu penyokong PKMM. Dia memberikan saya makanan, dan pada malam itu juga, membawa saya bertemu dengan seorang anasir cergas Tionghua di kawasan itu. Esoknya, barulah saya bertemu semula dengan Ah Tai.
Kemudiannya, kami diberitahu oleh organisasi di Ulu Dong bahawa penangkapan itu dilakukan oleh dua pasukan polis dari Lipis dan Raub, kira-kira satu platun, dalam lingkungan 30 orang. Seorang anasir kontra-revolusi telah mengkhianati kami dengan membuat laporan kepada polis. Kemudian, atas desakan massa revolusioner, pasukan lasykar rakyat telah menembak mati pengkhianat yang mengabdi diri kepada penjajah itu.
Soalan: Bercakap tentang sejarah, kami mendapat tahu Bapak sangat ambil berat pengkajian sejarah tanah air dan telah menghasilkan beberapa buah tulisan tentang sejarah tersebut. Sebagai seorang ahli sejarah, bolehkah Bapak berikan sedikit pandangan mengenai masalah ini?
Abdullah C.D.: Saya bukan ahli sejarah, cuma peminat atau pencinta sejarah saja. Bahan-bahan yang ada pada saya pun terbatas. Cuma, saya rasa, sebagai ahli perjuangan, kita bukan saja perlu menguasai teori revolusioner dan gerakan praktikal dengan baik, tapi juga mesti mahir dengan sejarah. Tanah air kita mempunyai sejarah yang lama. Bangsa kita mempunyai tamadun yang tua lagi kaya-raya. Kita mengkaji sejarah untuk memahami hukum-hukumnya, menegakkan kesinambungannya, mengenal kawan dan lawan. Memahami masalah perjuangan kelas, mewarisi tradisi rakyat yang berani berjuang melawan penindasan sejak zaman-berzaman. Kita tak boleh memotong-motong sejarah. Di samping menegakkan kesinambungan sejarah, kita juga perlu meneliti perkembangan dan perubahan di atas dasar kesinambungan tadi. Perspektif begini, saya rasa, perlu kita gunakan untuk memahami dan memecahkan pelbagai masalah negara kita, misalnya, bagaimana masyarakat berbilang kaum terbentuk dan lain-lain.
Kita berjuang untuk mewujudkan masyarakat yang adil pada hari depan. Tanpa menguasai masa lampau dan masa kini, bagaimanakah kita boleh membina hari depan? Tentu tak mungkin. Yang perlu kita lakukan ialah menafsirkan semula sejarah tanah air secara objektif serta melengkapkan fakta sejarah.
Saya perhatikan tidak sedikit cerdik pandai kita hari ini tekun berusaha untuk melengkapkan sejarah tanah air kita, baik zaman peradaban mahupun zaman prasejarah, serta membetulkan penyelewengan sejarah yang dilakukan oleh sejarahwan kolonial. Ini sangat perlu dan sangat baik. Pengkajian dan penemuan di Kota Tampan, Perak, yang dilakukan oleh rombongan pengkaji Universiti Sains Malaysia mempunyai erti yang sangat besar bagi menegakkan zaman prasejarah negara kita di atas dasar ilmiah yang lebih kukuh. Saya ucapkan syabas kepada para sarjana dan lain-lain yang terlibat.
Soalan: Setahu kami, nama Bapak dan Rejimen ke-10 sama seperti darah dengan daging, tak terpisahkan kerana Bapak telah memimpinnya dari dulu hingga sekarang. Bolehkah Bapak ceritakan sedikit peranan Bapak dalam memimpin pasukan pahlawan ini?
Abdullah C.D.: Memang saya diberi tugas oleh PKM untuk mendirikan dan memimpin Rejimen ke-10, tapi bukan saya seorang saja yang memikul tugas berat ini. Masih ada beberapa orang lagi pemimpin Melayu bersama-sama saya membangun Rejimen ke-10 menjadi sebuah pasukan perkasa yang disegani kawan dan lawan.
Rejimen ke-10 ditubuhkan pada 21 Mei 1949, kira-kira 4 bulan setelah Tentera Pembebasan Nasional Malaya didirikan. Tulang belakangnya terdiri daripada anggota PKMM. Semasa penubuhannya, kekuatan induk Rejimen ke-10 berada di Temerloh, Pahang. Namun begitu, pelbagai unit dan pasukan Melayu di lain-lain negeri juga berada di bawah riayah Rejimen ke-10. Rejimen ke-10 telah melancarkan banyak pertempuran dan membuat sumbangan besar kepada usaha kemerdekaan tanah air. Pada tahun 1953, pasukan induk Rejimen ke-10 telah beredar dari Pahang menuju ke kawasan sempadan Malaya-Thai dan telah mendirikan pangkalan barunya di situ. Kalau kita bercakap tentang kesinambungan sejarah, boleh kita katakan bahawa perjuangan TPNM dan Rejimen ke-10 mencerminkan kesinambungan ini. Ini merupakan kesinambungan dan sekali gus juga perkembangan daripada perang patriotik dan perang tani orang Melayu dulu di bawah syarat-syarat sejarah yang baru.
Soalan: Apakah pertempuran penting yang Bapak sendiri pimpin secara langsung? Apakah benar Bapak pernah cedera dalam pertempuran?
Abdullah C.D.: Antara pertempuran penting yang saya pimpin secara langsung ialah pertempuran Jalan Chonur, Jerangsang, Ulu Teka, Damak, Gong, Estet Tekal dan lain-lain. Saya juga memandu peredaran Rejimen ke-10 dari Temerloh ke kawasan sempadan. Saya pernah tercedera terkena bom tangan askar British.
Soalan: Menurut pandangan Bapak, apakah peranan penting perang gerila dalam usaha mencapai kemerdekaan?
Abdullah C.D.: Kita tak boleh membesar-besarkannya, tapi kita tak patut juga memperkecil-kecilkannya, atau lebih-lebih lagi, menafikannya. Kita boleh bayangkan begini: Penjajah British begitu ganas, ia mengerahkan lebih 400,000 kekuatannya di negara kita waktu itu. Negara kita kecil, penduduknya kira-kira lima juta saja.
Apakah British bersedia memberikan kemerdekaan begitu saja sekiranya tiada perjuangan gigih rakyat dalam semua bentuk, baik bersenjata mahupun bukan bersenjata? Rasa saya, tak mungkin.
Kami di front gerila telah membuat pengorbanan yang tidak sedikit. Ramai pahlawan dan serikandi telah terkorban dalam perjuangan melawan British. Dari tahun 1948 hingga 1954, kami telah bertempur lebih 19,100 kali, seramai lebih 26,000 tentera penjajah mati atau luka-luka. Kerugian besar British dalam bidang ketenteraan ini memperhebatkan krisisnya dalam bidang ekonomi dan politik.
Di front bukan bersenjata pula, parti patriotik lainnya seperti PAS, Partai Rakyat, Partai Buruh Malaya dan kekuatan patriotik dalam UMNO memperhebatkan perjuangan kemerdekaan. Kedua-dua front ini, secara langsung atau tidak langsung, saling melengkapi, saling mengenakan tekanan ke atas British.
Saya tidak mengatakan perjuangan bersenjata saja yang memaksa British mengakui kemerdekaan. Tapi, sesiapa yang bersikap adil dan objektif dalam menilai sejarah, saya rasa sudah pasti akan mengakui peranan penting perang gerila ini. Bahkan Tunku Abdul Rahman sendiri dalam Rundingan Baling pada tahun 1955 dulu pernah mengakui sumbangan penting perang gerila ini untuk mencapai kemerdekaan.
Soalan: Bapak mengatakan perang gerila anti-British itu dilancarkan untuk mencapai kemerdekaan. Tapi, ada orang bertanya: Sekarang sudah lama merdeka, apa sebab terus berperang? Mengapa tidak berdamai?
Abdullah C.D.: Masalah perang dan damai ini amat kusut. Kalau saudara tengok dalam catatan sejarah, pada akhir 1957, setelah Malaya merdeka, PKM sekali lagi mengemukakan usul untuk menamatkan perang dan mewujudkan perdamaian dalam negeri. Tapi, perang kolonial warisan penjajah British itu diteruskan oleh pihak kerajaan.
Soalan: Maksud Bapak, PKM berperang kerana membela diri, kerana terpaksa?
Abdullah C.D.: Begitulah. PKM terpaksa membela diri, membela demokrasi dan kepentingan rakyat, maka PKM melancarkan perang adil untuk menghadapi perang tidak adil warisan penjajah itu. Di samping itu, PKM juga melancarkan gerakan massa dan perjuangan bentuk lainnya. Sungguhpun begitu, PKM bersedia untuk menamatkan perang ini di bawah syarat-syarat yang adil dan munasabah, dan, bersama-sama dengan pelbagai kekuatan patriotik-demokratik lainnya, berjuang dengan cara damai dan demokratik.
Soalan: Ada orang menuduh PKM dan TPNM sebagai “pengganas”. Apa komen Bapak?
Abdullah C.D.: Tuduhan ini sebenarnya propaganda yang dilemparkan oleh penjajah British kepada pejuang yang menentang kekuasaan dan kepentingannya. Pahlawan anti-penjajah dahulu seperti Maharajalela, Tok Sagor, Datuk Bahaman dan Tok Janggut semuanya dicap “penderhaka” oleh British. Yamtuan Raja Haji, yang melawan Belanda, dicap sebagai “lanun”. Ini tidak menghairankan.
Bahkan hari ini, pejuang Palestin juga dicap “pengganas” oleh imperialis Amerika dan Zionis Israel. Begitu juga, pejuang kulit hitam di Afrika Selatan. Pada hal, seluruh dunia tahu bahawa pengganas yang sebenar ialah kaum Zionis Israel dan kaum rasis Afrika Selatan yang kedua-duanya ditunjangi oleh imperialis Amerika itu sendiri.
Anggota PKM dan TPNM adalah kaum patriot, pejuang kemerdekaan dan kebebasan, bukannya pengganas. Penjajah British sengaja menghitamkan yang putih dan memutihkan yang hitam untuk memburuk-burukkan kami serta memperelokkan dirinya.
Soalan: Satu lagi Bapak, ada pula tuduhan kononnya tokoh-tokoh Melayu dalam PKM hanya “alat” dan “hiasan” saja. Mereka kata PKM “parti Cina” dan anti-Melayu.
Abdullah C.D.: Sebuah parti tak perlu ada hiasan. Program dan dasar-dasarnya serta praktiknya dalam perjuangan, itulah ukurannya. Kenyataan dasar PKM dengan jelas mengakui bahawa orang Melayu adalah pengasas masyarakat bertamadun negara kita, sejarahnya paling lama, dan orang Melayu pernah membuat sumbangan besar dalam melawan penjajahan. PKM menganjurkan harus menghormati kedudukan istimewa orang Melayu dalam politik, ekonomi dan kebudayaan.
Di samping itu juga, perlu menghormati kedudukan penting kaum Cina, India dan kaum minoriti. Dasar begini, sesuai dengan kenyataan masyarakat negara kita. Terhadap agama, PKM menghormati kebebasan beragama rakyat dan hak mereka untuk mengamalkan kegiatan agama. Terhadap agama Islam, PKM mengakuinya sebagai agama rasmi negara kita.
Satu perkara lagi ialah soal raja-raja. Raja-raja adalah lambang ketuanan Melayu serta lambang perpaduan rakyat berbilang kaum. Baginda adalah raja berperlembagaan. Dalam sejarah, terdapat ramai juga raja berdiri di pihak rakyat melawan penjajah dan membela tanah air. Hari ini, raja mempunyai peranan yang istimewa dalam masyarakat berbilang kaum. PKM menyokong sistem raja berperlembagaan ini.
Tentang bahasa Melayu, atau bahasa Malaysia, PKM menyokong penggunaannya secara meluas dalam negara dan masyarakat, bahkan sebagai bahasa pengantar untuk hubungan antarabangsa.
PKM juga menyokong tanah simpanan (rizab) Melayu, menyokong kebudayaan Melayu sebagai bentuk utama kebudayaan negara dan lain-lain lagi.
Semua perkara tadi menyangkut kepentingan asasi orang Melayu. Kalau tokoh-tokoh Melayu dalam PKM hanya alat atau PKM anti-Melayu, apakah dasar-dasarnya dan tindakannya boleh sedemikian rupa?
Soalan: Kami mendapat tahu yang bapa pernah terkena racun. Apakah boleh ceritakan sedikit tentang masalah ini?
Jawapan: Benar, saya beberapa kali terkena racun, tapi keracunan yang saya alami pada tahun 1975 itu kesannya sangat ketara. Saya jatuh pengsan, tak boleh bercakap, bergerak pun tak boleh. Suriani juga terkena racun, tapi kesannya tidak begitu berat dan dapat segera diubati. Dalam masa saya ditimpa kemalangan itu, Surianilah yang menanggung semua kerja saya di samping tugas beliau sendiri.
Berkat perhatian kawan-kawan pimpinan Jawatankuasa Pusat, pimpinan-pimpinan Rejimen Ke-10 termasuk Suriani dan seluruh kawan-kawan serta dengan izin Allah, kesihatan saya beransur-ansur dapat dipulihkan. Selama setahun saya dirawat di pasukan sesaudara iaitu Organ Pasukan Khas. Kemudian barulah kembali ke Rejimen Ke-10. Kini di dalam usia 80 tahun lebih, saya masih hidup sihat.
Soalan: Pada tahun 1981, Bapak telah menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Revolusioner Malaya atau PKMRM. Kenapa?
Abdullah C.D.: PKMRM ditubuhkan dengan tujuan meneruskan cita-cita PKMM yang belum selesai itu. Sungguhpun kemerdekaan negara sudah wujud, tapi tugas mengisi kemerdekaan sangat berat dan rumit. Seperti PKMM dahulu, PKMRM berjuang untuk menyatupadukan orang Melayu daripada pelbagai aliran ideologi – nasionalis, agama, sosialis dan komunis dalam satu wadah yang bersatu demi mewujudkan demokrasi, hak asasi manusia, keadilan masyarakat dan perpaduan nasional. PKMRM juga berusaha bekerjasama dengan pelbagai parti dan pertubuhan lain, baik Melayu mahupun bukan Melayu, dan membentuk barisan bersatu yang luas bagi mencapai matlamat di atas.
Soalan: Bolehkah Bapak terangkan bagaimana Bapak dipilih menjadi Ketua PKMRM?
Abdullah C.D.: Sebenarnya, saya sendiri keberatan memegang jawatan ini, tapi kawan-kawan mendesak. Kata mereka, sebagai anggota pucuk pimpinan PKMM yang asal, saya dapat memainkan peranan sebagai lambang perpaduan golongan nasionalis, agama, sosialis dan komunis, serta sebagai jambatan bagi menghubungkan pejuang angkatan lama dengan yang baru. Menurut mereka, saya ada kewibawaan untuk meneruskan cita-cita PKMM dulu di bawah syarat sejarah sekarang.
Sebenarnya, penilaian kawan-kawan serta harapan mereka terhadap saya terlalu tinggi. Tugas yang begini berat tidak boleh dipikul oleh satu orang saja, ia perlu satu team atau satu pasukan. Saya cuma memikul tugas ini setakat yang saya mampu dan mengharapkan kawan-kawan lain bersama saya sanggup membenarkan saya melepaskan tugas ini dan mereka sendiri pula memegangnya.
Soalan: Apa sebab PKM memilih Bapak sebagai Pengerusi PKM sedangkan Bapak juga adalah Pengerusi atau Ketua PKMRM?
Abdullah C.D.: Memang ada kawan-kawan bertanya tentang masalah ini. Ramai kawan berpendapat pemilihan seorang tokoh Melayu menjadi pucuk pimpinan PKM memang selaras dengan sejarah dan perkembangan masyarakat negara kita serta dengan tuntutan orang ramai. Pendapat ini tepat. PKM menyedari keperluan ini dari dulu lagi.
Kami kawan-kawan angkatan lama dalam PKM, baik Melayu, mahupun bukan Melayu, ada kebaikan dan kekurangan masing-masing. Masing-masing ada pengalaman dan kecekapan dalam kerja memimpin. Mungkin kawan-kawan pimpinan yang lain dalam PKM merasakan pucuk pimpinan PKM paling sesuai disandang oleh saya, kerana itu, saya dipilih.
PKMRM pula meneruskan cita-cita PKMM, yang merupakan pewaris kepada KMM. Dalam sejarah, PKMM bekerjasama dengan PKM. Rejimen ke-10 pula merupakan kesinambungan PKMM, dan kemudian, lahirlah PKMRM. Dengan lain perkataan, perjuangan kaum patriot Melayu dalam KMM dulu diteruskan dalam PKMM, kemudian, sebahagian pokoknya dalam Rejimen ke-10, dan selanjutnya, dalam PKMRM. Adanya golongan komunis dalam PKMRM memang selaras dengan perkembangan sejarah ini.
Badan pimpinan PKMRM bukan seorang, dan bukan di hutan saja. Ia terdiri daripada satu kolektif golongan nasionalis, agama, sosialis dan komunis, masing-masing mempunyai hak untuk menentukan dasar PKMRM. Memang antara kami, kadang-kadang terdapat perbezaan pendapat. Ini perkara biasa. Prinsip dan cara kami ialah berbincang dan mencari titik-titik persamaan melalui musyawarah dan permuafakatan, akhirnya, mencapai kata bulat tentang dasar dan pelaksanaannya.
PKMRM juga bukan parti atas kertas. Ia ada perlembagaan dan programnya sendiri, ada susunan organisasinya sendiri, ada cawangan-cawangannya di pelbagai tempat di tanah air. Sebagai parti bawah tanah, sudah tentu organisasinya serta keanggotaannya tidak sebesar parti yang terbuka dan halal. Lagipun, PKMRM baru berumur tujuh tahun lebih saja pada masa itu. Tapi, saya percaya ia mempunyai pengaruh tertentu dalam arena politik nasional hari ini.
Memang PKMRM ada kelemahan dan kekurangan. Ini kami telah baiki dari semasa ke semasa. Sesiapa saja yang ada pendapat atau ingin mengkritik, menegur kami, kami sambut dengan hangat.
Soalan: Apakah pendapat Bapak tentang peranan orang Melayu?
Abdullah C.D.: Kita perlu melihatnya dari dua segi, iaitu segi sejarah dan masa sekarang. Dari segi sejarah, orang Melayu telah membangunkan satu tamadun yang besar di Alam Melayu. Dan apabila tamadun ini diruntuhkan dengan kejatuhan Kerajaan Melaka, orang Melayu bangkit silih berganti melawan penjajah. Orang Melayu pandai berperang, namun mereka kalah. Ini bukan kerana mereka kurang semangat berjuang, tetapi kerana mereka dibatasi oleh syarat-syarat sejarah. Pendek kata, orang Melayu adalah satu bangsa yang berani, yang tidak tunduk pada penjajahan, penindasan dan kezaliman. Sekarang, dalam arena politik tanah air kita, orang Melayu memainkan peranan yang amat penting dan menentukan, lebih-lebih lagi dengan pertambahan pesat kaum buruh dan kaum terpelajar Melayu.
Soalan: Bagaimana soal perpaduan orang Melayu dan bukan Melayu?
Abdullah C.D.: Orang Melayu telah menjalin hubungan persahabatan dengan orang Cina, India, Arab dan lain-lain sejak 2000 tahun dulu lagi. Lebih-lebih lagi, sejak Kerajaan Melaka, hubungan ini menjadi lebih erat. Setelah orang Cina dan India menetap di Malaya dan sama-sama membangun tanah air kita dan membelanya, orang Melayu beransur-ansur menerima mereka. Perpecahan berlaku kerana dasar pecah dan perintah penjajah.
Tapi sekarang, orang Melayu dan bukan Melayu semakin sedar yang mereka mempunyai kepentingan bersama. Pelbagai parti dan pertubuhan patriotik-demokratik juga ambil berat memupuk perpaduan antara kaum. Cadangan mereka supaya ditubuhkan Majlis Perundingan Kebangsaan Tentang Hubungan Antara Kaum memang munasabah. Pokoknya, pelbagai kaum mesti saling belajar, saling membantu dan saling memahami. Sekarang, ramai orang Cina, India dan lain-lain sudah menguasai bahasa Melayu serta memahami kebudayaan dan adat resam Melayu. Selain itu, semakin ramai pula anak-anak Melayu yang belajar bahasa Cina. Ini satu perkembangan yang sihat.
Soalan: Soalan kami yang terakhir, apa pendapat Bapak tentang barisan bersatu?
Abdullah C.D.: Ada sedikit orang, apabila saja disebut barisan bersatu, mereka akan segera memberikan cap yang ia front komunis dan mesti dijauhi atau ditentang. Orang ini lupa bahawa Barisan Nasional yang berkuasa sekarang ini pun terbentuk atas dasar barisan bersatu juga. Yang berbeza ialah isinya.
Yang kita perlukan ialah barisan bersatu yang demokratik, di mana pelbagai parti, pertubuhan dan orang perseorangan yang patriotik-demokratik berpadu tenaga, menggabung kekuatan dan bekerjasama atas dasar satu program bersama yang diterima oleh semua pihak.
Parti politik Melayu yang awal seperti KMM, PKMM, kemudian Partai Rakyat di bawah pimpinan Boestamam, dan PAS di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin juga terbentuk atas dasar gabungan kekuatan patriotik demokratik pelbagai aliran khasnya nasionalis, sosialis dan agama.
Nota: temubual ini dibuat pada tahun 1989 oleh wartawan majalah Suluh Rakyat
No comments:
Post a Comment