Pada kisah para nabi terdapat pengajaran
Itu pengajaran yang global berlandaskan pedoman Ilahi
Al Quran kalamullah tidak sesekali menolak sejarah. Allah memperihal betapa banyaknya bangsa dan tamadun besar yang hilang kerana berbuat kemungkaran di atas muka bumi.
Kisah itu diulang-ulang dalam Al Quran untuk diambil pengajaran supaya manusia tetap ingatkan peringatan Allah.Jangan sesekali mensyirikkannya.
Firman Allah dalam surah Al 'Araf yang maksudnya sekiranya penduduk sesuatu qariah beriman dan beramal salih,nescaya Kami akan turunkan rahmat dari langit dan pancarkannya dari bumi.
Malangnya bangsa kita sering lupakan sejarah.Sehingga Dr M pemimpin bangsa Melayu yang terkenal pernah berkata Melayu Mudah Lupa
Kami bentangkan betapa pentingnya sejarah untuk dikaji.Sebagaimana kata seorang penulis Indonesia yang tersohor :
Blog ini akan meninjau tulisan-tulisan masa lalu yang bernas,memahami dan menganalisis tulisan masa kini dan mempersiapkan bangsa kita menghadapi masa depan.
Di bawah dihidangkan beberapa tulisan.Kita mulakan dengan dua buah tulisan yang keluar pada tahun 1947 untuk dinilai oleh pembaca.
Artikel dari majalah Kenchana, Jan 1947
KITA, ORANG MELAYU HARI INI!
Dengan chogan kata di atas kita memperingatkan kepada semua kaum Melayu supaya jangan tertipu terperlemah dan terperangkap oleh pehak yang hendak menggunakan diri kita faedah mereka.
Dari mula dunia terkembang, orang Melayu telah berserah tonggang nasib-nya hitam puteh kepada tangan Y.M.M. dan Y. berhormat dan akhir-nya nasib orang Melayu jatoh sejatoh-jatohnya dan menerima menjadi Nasib Kaum Terjajah yang lemah sekali di dalam dunia ini, di-bawah Pemerintah Kerajaan Inggeris.
Kejatohan Melayu ini dan kelemahan Melayu ini salah-nya terpulang kepada Penganjor Melayu yang sudah-sudah ia-itu yang tergamak menjual-kan Tanah Ayer Melayu dan menukar-kan nyawa Melayu kepada wang dan kesenangan mereka yang mana akhir-nya seperti yang kita nampak Orang Melayu jatoh melepek.
Perang Dunia Kedua menyedar-kan kaum Melayu kembali dan kerana itu terbitlah perasaan “Kita Orang Melayu Hari Ini” yaani berhak bersuara, kerana menjaga dan membetol-kan masib kita di atas tanah ayer kita.
Oleh itu U.M.N.O. (Pekembar) M.N.P. (Pekemam) bukanlah arti-nya dipunyai oleh ketua-ketua itu sendiri ialah dipunyai oleh orang ramai Melayu hari ini. Jadi dengan itu sewajib-nya apa-apa keputusan yang hendak dibawa oleh U.M.N.O. atau M.N.P. untok pengetahuan pemerintah atau diketengahkan kepada ramai mahulah dipersetuju-kan oleh orang Melayu ‘am.
Jangan-lah terjadi seperti sekarang yang sudah terjadi ia itu: Malayan Union terjadi dengan pekerjaan Sultan-Sultan sendiri dan kemudian Malayan Union ditukar-kan kepada Federation dengan ranchangan Sultan2 dan Penganjor2 itu sendiri, di sini ada-kah bermaana orang Melayu hari ini puas hati dengan langkah asalkan Kaum Bangsawan-nya sahaja puas hati? Kita nampaknya tidak begitu!
Orang Melayu tidak puas hati dengan apa yang telah dijalankan oleh Penganjor2-nya, kerana orang Melayu ramai yang dahulu-nya bersama menolak Malayan Union itu bukan meminta ditukar dengan Federation yang akan menjadikan orang Melayu di-pechah2kan oleh ber-Johor, ber-Perak, ber-Pahang dan lain2 ia-lah orang Melayu berkehendakkan Malaya bagi orang Melayu yang tujuan-nya membetolkan dan membaik-kan nasib orang Melayu dalam semua perengkat dan dalam serba serbi.
Sebab itu kita sudah nampak bayang2-nya orang Melayu tidak puas hati kepada penganjor2-nya yang chuba membelakang-kan muslihat orang Melayu ramai.
Dalam sementara itu kita harap orang Melayu hari ini berdiri-lah sebagai orang Melayu yang tidak redza nasib-nya di-perjudi-kan oleh Penganjor2 nya kerana keuntongan pada lain pehak, tetapi orang Melayu sendiri akan tergadai dan terima hidup melarat.
Sumber: Majalah ‘Kenchana’, Bilangan 1, Jan 1947
Artikel dari majalah Kenchana, Feb 1947
RA’YAT JELATA MELAYU JANGAN DI-BODOHKAN TERUS!
Soal Malayan Union sudah dapat dirobohkan oleh Orang Melayu Am apabila mereka ketahui Sultan2 Tanah Melayu menjualkan Kemerdahekaan Negeri Melayu kapada Kerajaan Inggeris dengan tidak berondeng dan tidak setahu Rakyat Jelata Melayu… dan kemudian orang Melayu dapat menebusnya samula.
Tetapi malang Tanah Melayu yang baharu ditebus oleh Rakyat Jelata itu telah hendak dimasokkan samula ka dalam lukah Inggeris oleh Raja2 Melayu dan Penganjor2 yang memikirkan dirinya telah penoh berkuasa diatas Rakyat Jelata, dan pekerjaan nya ini juga dengan tidak berondeng dengan Rakyat Jelata dan telah pandai2 berondeng dengan Kerajaan Inggeris meranchangkan pula PERSAKUTUAN NEGERI MELAYU, konon!
Apabila chadangan Persakutuan Negeri2 Melayu didzahirkan kepada pengetahuan ramai, Rakyat Jelata Melayu telah sama membantah tidak bersetuju dengan ranchangan itu kerana chadangan itu tidak berondeng dengan Rakyat Jelata dan chadangan dalam Perlembagaan baharu itu tidak berdasar Democratic! Chadangan itu tetap tidak mementingkan nasib Ra’yat Melayu Jelata, chadangan itu hanya untok faedah Raja2 Melayu dan Orang Besar2nya sahaja.
Bertambah malang nasib orang Melayu Jelata, apabila mereka bersuara membantah chadangan Perlembagaan baharu itu lalu mereka ditudoh dan dichap Menderhaka oleh Raja2 Melayu dan orang2 Besar serta Penganjor2nya yang hendak menipu rakyat Jelata.
Pehak Kenchana tetap berdiri disisi Rakyat Melayu Jelata dan mempertahankan Kedaulatan Rakyat, dengan sebab itu bersama2 dengan Rakyat Melayu Jelata membantah chadangan Perlembagaan baharu Malaya itu tidak sah karena ranchangan itu hanya diperbuat oleh 12 orang yang dilantek oleh Kerajaan Inggeris, bukan dari Rakyat Jelata ya’ni tidak berdasarkan Kedaulatan Rakyat.
Kerajaan Inggeris, Raja2 Melayu dan orang2 Besar Melayu patut mesti sedar, yang Rakyat Jelata Melayu masa ini bukan boleh disamakan seperti masa sabelum perang yang baharu lepas ini atau saperti orang Melayu zaman dahulu kala hanya menyerahkan nasibnya dan jiwa raganya kapada Raja2nya, atau kapada orang Besarnya.
Orang Melayu hari ini telah sedar dan mengerti tanggongan mereka kaatas Tanah Ayernya dan Bangsa nya, mereka tidak redza nasib mareka diperjudikan oleh Rajanya atau oleh Penganjornya kerana kepentingan diri Raja2 dan Penganjor2 itu, mereka berkehendakkan kemuliaan hidup dan Kemerdahekaan Bangsa dan Tanah Ayernya.
Sebab itu disini Kenchana berseru dan menchadangkan kapada Kerajaan Inggeris dan Raja2 Melayu serta Penganjor2 Melayu iaitu berhubong dengan pemerentah Malaya yang akan datang mestilah memakai Kedaulatan Rakyat yang sebenar, serta chorak pemerentahan yang hendak diadakan itu mestilah berundeng dan dapat persatujuan dari Rakyat Melayu Jelata, bukan hanya dengan Raja2 dan orang Besar2 Melayu yang hanya mementingkan diri mereka sahaja.
Disini juga Kenchana memperingatkan kapada saudara2 sebangsa dan satanah ayer supaya lebeh ingat dan berjaga2 kena pelemah dari Kerajaan dan bangsa2 dagang yang hendak masokkan kita kedalam perangkap mereka, orang Melayu mesti sedar iaitu orang Melayu boleh merdaheka dan layak merdaheka saperti bangsa yang merdaheka dalam dunia ini.
Lagi Kenchana memperingatkan yang bangsa kita terjajah beratus tahun lamanya, dan kita telah berserah bulat nasib kita katangan Raja2 dan orang Besar2 dan akhirnya hingga hari ini kita telah nampak terang yang nasib bangsa Melayu amat burok iaitu: bodoh, miskin, melarat dan terhempet, kalah dalam segala perjuangan,
Maka semuanya ini kerana hanya kita perchaya dan ta’at kepada KETUA2 kita yang tidak mengindahkan nasib bangsanya, sebab itu bangkitan kita pada kali ini mestilah disusun dengan rapat dan rapi supaya jangan dapat lagi diperjudikan oleh Pengkhianat Bangsa dan Tanah Ayer yang bertopengkan pura2 menjadi PENYELAMAT BANGSA.
Sumber: Majalah ‘Kenchana’, Bilangan 2, Feb 1947
No comments:
Post a Comment