MEMBEDAH GRAND
DESIGN MAHATHIR – OLEH LIEW CHIN TONG
30 January 2012
30 JANUARI – Tidak ramai antara kita yang masih ingat bahawa Barisan
Nasional telah berjaya menyelamatkan diri dan kembali menguasai medan pilihan
raya umum dari 1991 hingga 2005 hasil daripada kompromi Tun Dr Mahathir Mohamad
dalam bentuk Wawasan 2020.
Penggunaan aparat negara serta tindakan tidak demokratik seperti kuasa
menahan tanpa bicara ahli-ahli politik pembangkang, penguasaan media massa
secara langsung dan tidak langsung, dan sistem pilihan raya yang pincang, telah
membolehkan BN kekal berkuasa, mejadi parti yang dipilih paling lama berkuasa
di dunia hari ini.
Formula Perikatan dan bermulanya hegemoni “Melayu dahulu”
Formula Perikatan – pewaris kepada BN – adalah untuk memenangi separuh
daripada semua undi di kalangan pelbagai kaum. Sebagai satu-satunya gabungan
pelbagai kaum di semua peringkat, strategi itu membuahkan hasil kepada
Perikatan dalam pilihan raya umum 1959 dan 1964.
Tetapi amalan Perikatan sebagai “kerajaan kecil yang tidak banyak
berbuat apa-apa” menyebabkan berlakunya ketidakadilan dan perbezaan ketara
sosioekonomi rakyat. Ia menyebabkan pertambahan sokongan kepada pembangkang
daripada pelbagai kaum, termasuk orang Melayu, dalam PRU 1969.
Anggapan yang mengatakan hanya pengundi Cina menyokong pembangkang pada
1969 adalah tidak benar kerana orang Melayu juga berbuat demikian. Dr Mahathir
kalah di kerusi Kota Setar Selatan serta ramai lagi pemimpin besar UMNO tewas
dalam PRU itu yang membuktikan ada peralihan undi Melayu menentang Perikatan.
Pasca-1969, formula Tun Razak bercita-cita mencapai sokongan 70 peratus
undi Melayu kepada BN. Undi bukan Melayu tidak dianggap penting dalam formulasi
tersebut. Semua dasar di bawah sususan rancangan baru berkenaan, yang
dilambangkan oleh Dasar Ekonomi Baru (DEB), digerakkan ke arah mencapai
matlamat tersebut.
Strategi “Melayu dahulu” membawa kejayaan kepada UMNO sehingga PRU 1990
apabila undi Melayu pecah selepas penubuhan Semangat 46 yang diterajui oleh Tengku
Razaleigh Hamzah dan bekas pemimpin kanan UMNO yang lain.
Barisan pembangkang yang dipimpin oleh Semangat 46 hampir menang dalam
PRU 1990 tetapi BN berjaya menyelamatkan diri dengan manipulasi tiga hari
terakhir sebelum membuang undi apabila gambar Tengku Razaleigh yang memakai
sigah Kadazan berlambang palang disebarkan oleh media massa sebagai kononnya
perlambangan agama Kristian. Ia cuba
memberi gambaran kepada orang Melayu bahawa pembangkang mahu menjual hak kaum
dan maruah kepada kuasa asing.
Namun undi Melayu kepada BN tidak pernah kembali lagi ke tahap tinggi
pada zaman DEB (1970-1990). Malah, undi Melayu sentiasa berkurangan dalam
setiap PRU sejak 1990, kecuali pada 2004, iaitu PRU pertama pasca-Mahathir.
(Pada PRU 2004, Perdana Menteri Abdullah Badawi menang kerana janji-janji
reformasi kerajaan.)
BN menang PRU 1995 dengan undi popular 65 peratus walau pun berlaku
penurunan undi Melayu dan terus mengekalkan kemenangan dalam PRU 1999, walau
pun lebih separuh pengundi Melayu menolak BN, satu reaksi terhadap pemecatan
dan pemenjaraan Anwar Ibrahim.
Bagaimana Dr Mahathir dan Barisan Nasional terus berjaya menyelamatkan
diri sejak PRU 1990?
Wawasan 2020 dan “Bangsa Malaysia”
Dalam masa empat bulan sahaja selepas PRU 1990, Dr Mahathir mengumumkan
Wawasan 2020 dan konsep “Bangsa Malaysia” pada Februari 1991 dan menetapkan
hala tuju BN untuk 14 tahun seterusnya sehingga Julai 2005.
Strateginya adalah untuk menampung hakisan pengundi Melayu kepada UMNO
dengan membawa sokongan kelas menengah Cina. Ia dilaksanakan dengan
mengetepikan seketika isu hak Melayu untuk meredakan tekanan perkauman. Kaum
Cina menolak UMNO sepanjang 1970-1990 kerana tidak diberi peluang ekonomi dan
hak budaya.
Pada awal tahun 1990-an, ekonomi mula berkembang dan taraf hidup
meningkat. Kekangan terhadap keinginan budaya dan sosioekonomi kaum Cina tidak
lagi disekat, sebaliknya digalakkan walau pun ada harga yang perlu dibayar.
Sebagai contoh, peluang pendidikan tinggi kepada kaum Cina
berpendapatan rendah dan sederhana amat berkurangan pada 1970-an dan 1980-an.
Tetapi pada 1990-an, asalkan seseorang itu sanggup dan mampu membayar untuk
pendidikan swasta, beratus-ratus kolej mengejar pelajar.
Satu lagi contoh adalah siaran televisyen dalam bahasa Cina. Pada
1970-an dan 1980-an, tidak lebih dari dua jam sehari diperuntukkan untuk
rancangan bahasa Cina di kaca TV. Pada 1990-an, jika anda mampu melanggan
perkhidmatan TV satelit, pelbagai program bahasa Cina disediakan untuk kelas
menengah Cina yang selama ini bising dengan tuntutan hak.
Jika anda bukan dari kalangan kelas menengah yang sedang berkembang,
atau tidak mampu membiayai pendidikan swasta anak-anak, atau melanggan TV
satelit, jangan salahkan kerajaan. Ia adalah masalah anda – sama ada anda tidak
bernasib baik atau anda tidak gigih
bekerja. Itu andaian BN. Lagi pun, pakar-pakar strategi BN sedar bahawa
segmen pengundi miskin Melayu dan Cina akan tetap mengundi masing-masing PAS
dan DAP.
Musuh bayangan dan pemerintahan singkat Abdullah Badawi
Sepanjang 1970-an dan 1980-an, setiap bulan ada sahaja isu perkauman
yang dimainkan oleh media massa.
Tetapi pada 1990-an, apabila Dr Mahathir memerlukan “musuh” untuk dihentam bagi
memastikan popularitinya kekal di kalangan orang Melayu, beliau sentiasa ada
pilihan di antara “penjajah” British, “penindas” Amerika, “komplot” Yahudi atau
Asutralia yang “sombong” dan “tidak beradab”.
Dan, jika Dr Mahathir memerlukan “musuh” yang kelihatannya seperti
orang Cina, maka Cina “tumpang” di selatan Tambak Johor sentiasa ada untuk
dimangsakannya. Imej demonstrasi Pemuda UMNO membantah Singapura di Johor Bahru
dengan jelas mencerminkan keadaan politik pada masa itu – UMNO tidak perlu
mengubah kaedahnya, cukup dengan melihat sahaja “musuh” di luar.
Pada 2004, Abdullah Badawi mewarisi rangka kerja Dr Mahathir dengan
mesej yang bersifat lebih “Malaysia”
atau wasatiyyah (sederhana). Dalam perutusan Hari Kebangsaannya pada Ogos 2004,
Abdullah berkata, “Kita semua adalah sama, kita semua rakyat Malaysia. Tidak
ada individu di negara ini yang diiktiraf ’lebih Malaysia’ dari
individu lain.”
Tetapi sesuatu telah berlaku pada 2005. Rancangan besar BN berakhir
secara mengejut pada minggu terakhir Julai 2005. Ini akan saya bincangkan
minggu depan. – Roketkini.com
Penulis adalah Ahli Parlimen Bukit Bendera merangkap Setiausaha
Hal-Ehwal Antarabangsa DAP
No comments:
Post a Comment