Monday, May 28, 2012

PERJUANGAN KITA KITA DARI SITC KE UPSI

Bebaskan Malim Sarjana, SITC saksi gerakan mahasiswa bermula

Hassan Karim melakarkan dalam makalahnya 'The Student Movement In Malaysia 1967-1974', gerakan mahasiswa Malaysia bermula pada tahun 1930-an. Sekumpulan mahasiswa sedar dari Sultan Idris Training College (SITC) pimpinan Ibrahim Yaacob (gambar) menubuhkan Belia Malaya (Malayan Youth) dan Kesatuan Melayu Muda (KMM) sebagai reaksi penentangan terhadap penjajah British seterusnya menuntut kemerdekaan.

Selain itu, kehadiran guru-guru sedar seperti Zainal Abidin Ahmad (Za'ba) dan Harun Aminurrashid di SITC terus menyumbang kepada pemerkasaan Bahasa Melayu dan gerakan mahasiswa.Tema besar perjuangan dizaman itu adalah PEMBEBASAN dan KEMERDEKAAN. Pembebasan dan kemerdekaan dari belenggu penjajahan fizikal dan aqal dari penjajah British seterusnya mewujudkan sebuah gagasan Melayu Raya merdeka.

Ironinya, gerakan mahasiswa era 30-an itu telah meletakkan garis besar perjuangan (pembebasan dan kemerdekaan) yang lantas mencabar kuasa penjajah-pemerintah British. Natijahnya pahit, mereka dilabel sebagai golongan kiri dan pendokong idea komunis, gerakan mereka diharamkan, dikecam dan diancam dengan pelabagai cubaan.

Setidaknya, ledakan isu seorang mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli pada 17 Disember 2012 lalu mengingatkan kita sejarah SITC. SITC pernah menjadi tumpuan negara bahkan mungkin dunia. Nama Sultan Idris Training College (SITC), Tanjong Malim dan 'kumpulan SITC' (baca: Ibrahim Yaakob dan rakan mahasiswanya) dilakar dalam sejarah.

Semua itu terjadi kerana garis besar perjuangan menuntut PEMBEBASAN dan KEMERDEKAAN. Bukan kerana Ibrahim Yaacob semata. Ia lahir dari kecerdasan mahasiswa institusi pendidikan guru tertua itu mensintesiskan pemikiran pendidikan yang akhirnya menyedarkan mereka untuk berjuang.

Tema garis besar perjuangan (pembebasan dan kemerdekaan) itu kalau pun kisahnya tak sama, tetapi setidaknya telah hidup kembali. Hidup dalam versi yang berbeza. Hidup kerana isu turunnya bendera. Tetapi garis perjuangannya sama. Malaysia tidak lagi terjajah fizikal. Tetapi simptom-simptom penjajahan itu tetap ada.

Dunia akademia-universiti kini dicengkam, dijajah pemerintah untuk mengekalkan kuasa politik. Malim sarjana (ahli akademik) dan mahasiswa tak lagi bebas bersuara walau dalam lingkungan dibenarkan agama, undang-undang dan perlembagaan negara. Nah! disitu letakknya punca keluarnya suara. Suara PEMBEBASAN dan KEMERDEKAAN dunia akademia, malim sarjana dan mahasiswa dari pengaruh politik pemerintah yang mempergunakan akademia untuk kekal berkuasa

Disebalik tempat yang dinamakan universiti kini, tak semua tahu kisah duka. Duka, kecewa dan hampa kerana matinya kebebasan ilmuan dan mahasiswa melestarikan pandangan. Disebalik dewan kuliah, pustaka dan buku-buku itu, mahasiswa tidak lagi bebas berekspresi melainkan disuap untuk peperiksaan semata.

Disebalik segelintir sosok pentadbir universiti yang merancang mengejar ‘ranking’ dan komersialisasi institusi, malim sarjana dan mahasiswa berterusan dicengkam oleh segolongan ‘musktakbirin’ (pemegang kuasa angkuh) berijazah tinggi berjela, dihantar ke universiti oleh pemerintah politik untuk mengukuhkan kuasa. Kita berada dizaman gelap dunia akademia ?

Apa yang dinamakan universiti tak lebih dari hanya sekadar tempat mendapat segulung ijazah yang mungkin tak mempunyai apa-apa makna. Tiada makna untuk pembaikan diri, masyarakat dan Negara. Kata seorang tokoh agamawan, Abul ‘Ala al-Maududi universiti tak ubah seperti tempat pembodohan.

“Walau bagaimanapun aku perlu berlaku jujur, bahawa dalam menilai tempat kau dididik ini, malah kesemua tempat pendidikan yang bernama universiti ini tidak ubah seperti tempat penyembelihan berbanding tempat pendidikan. Ijazah yang dihulurkan tidak ubah seperti sijil kematian, diberikan apabila si pembunuh sudah berpuas hati kerana telah berjaya menyempurnakan penyembelihannya; alangkah bertuahnya kepada mereka yang telah berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan.”-Abul Ala al-Maududi

Bebas. Bebaskan malim sarjana. Bebas bukan kerana Ibrahim Yaakob dan Adam Adli semata. Mereka hanya manusia biasa. Tak layak didewa-dewa. Bebaskan mereka, merdekakan academia, sejahterakan Negara.

"Di atas robohan Kota Melaka,
Kita dirikan Jiwa Merdeka,
Bersatu padulah segenap baka,
Membela hak keadilan pusaka."
-Dr Burhanuddin al-Helmy

No comments:

Post a Comment